Azharina Juara Gegar Vaganza 3

Penyanyi Azharina menepati ramalan banyak pihak apabila diumum sebagai juara pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor malam Ahad.

Azharina yang menyanyikan lagu 'Izinkanlah', 'Mama Aku Ingin Pulan'g dan 'Kesetian' telah menewaskan lima peserta lain yang terdiri daripada Siti Sarah, Ameng, G-Mie, Zarul dan Intan Sarafina.

Kemenangan itu melayakkan Azharina menerima hadiah kemenangan yang terdiri daripada wang tunai RM100,000 berserta sebuah trofi serta rakaman single terbitan Astro.

Penyanyi lagu 'Elergi Sepi' ini turut menerima sebidang tanah lot banglo tajaan Budi Group bernilai RM60,000.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada yang banyak membantu saya. Kemenangan ini adalah untuk anak saya," ujarnya.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad dan Pengasas Vida Beauty Cosmetic, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman.

Sementara itu, Siti Sarah memenangi tempat kedua menerima hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, pakej percutian dan sebidang tanah lot banglo bernilai RM60,000.

Siti Sarah juga memenangi persembahan pilihan penonton dengan membawa pulang wang tunai RM5,000.

Penyanyi Zarul pula berada di tangga ketiga dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, sebidang tanah lot banglo bernilai RM60,000, pakej percutian, dan trofi.

Ameng yang menduduki tempat keempat membawa pulang RM15,000, pakej percutian berserta trofi.

Intan Sarafina dan G-Mie masing-masing hanya berpuas hati di tempat kelima dan keenam membawa pulang wang tunai RM10,000 dan RM5,000 berserta trofi.

Kesemua persembahan peserta Gegar Vaganza 3 dinilai oleh juri tetap Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim, manakala juri jemputan Datuk Jamal Abdillah dan Hetty Koes Endang.

Program akhir Gegar Vaganza 3 dihoskan oleh Nabil Ahmad.Program akhir turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza.
Azharina Juara Gegar Vaganza 3 Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Keli Merah

0 comments:

Post a Comment