Ads Top

Bayi Lima Hari Maut Kemalangan Ibu Cedera Parah


BATANG KALI - Bayi berusia lima hari yang terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan pagi tadi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu.

Ibu bayi berkenaan berusia 35 tahun mengalami kecederaan parah dengan kesakitan di bahagian perut akibat luka pembedahan ceaser dan kini menerima rawatan di Hospital Selayang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, kemalangan berlaku di KM49 Jalan Kuala Lumpur - Ipoh berdekatan Jabatan Pertanian Batang kali, jam 9.45 pagi.

Menurutnya, Perodua Bezza dipandu bapa bayi berkenaan dalam perjalanan dari Batang Kali menghala ke Klinik Ibu dan Anak Rasa.

"Sampai di tempat kejadian, Perodua Bezza melanggar bahagian hadapan kereta Proton Saga yang datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba membuat pusingan U di tempat kejadian.

"Perlanggaran mengakibatkan Bezza terbabas melanggar pengadang besi jalan di sebelah kiri jalan.

"Pada masa yang sama datang kereta Perodua Myvi dari arah belakang Bezza juga tidak sempat mengelak," katanya.

Beliau berkata, bapa bayi berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu Proton Saga berusia 56 tahun cedera di bahagian leher dan kepala.

Menurutnya, kes diklasifikasi di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hulu Selangor, Leftenan (PA) Ab Azizul Hakim Ab Rahim berkata, empat anggota ke lokasi kejadian mendapati empat mangsa cedera termasuk bayi berkenaan.

"Mangsa yang cedera diberi bantuan rawatan awal oleh anggota APM bersama pasukan perubatan Kementerian Kesihatan dan mangsa berjaya dibawa keluar dari kenderaan terlibat.

"Semua mangsa cedera dikejarkan ke hospital dengan menggunakan ambulans APM dan KKM untuk rawatan segera," katanya- sinarharian
Powered by Blogger.