Ads Top

Lipas Makin Kebal Kepada Racun Serangga



Susuk tubuhnya kecil tetapi menimbulkan ketakutan yang amat dasyat. Kelibatnya saja ibarat mimpi buruk, apatah lagi jika ia mendekat

Apabila makhluk berkaki enam ini mula mengembangkan sayapnya dan terbang, pasti ada yang menjerit dan berlari untuk menyelamatkan diri.

Tak kurang, ada yang menyembur hampir sebotol racun serangga asalkan makhluk yang paling digeruni ini mati. 

Situasi ini hanya dilalui oleh ‘Katsaridaphobia’ iaitu orang yang takutkan lipas. Jika anda salah seorang daripadanya, apa yang kami kongsikan ini mungkin membawa ketakutan yang lebih lagi.

Para saintis dari Universiti Purdue, telah menjalankan uji kaji ke atas sebilangan lipas dari jenis yang berbeza. Menerusi kajian tersebut, saintis mendapati bahawa lipas kini bukan sahaja membangunkan daya tahan terhadap racun serangga yang disemburkan ke atas mereka tetapi juga racun serangga daripada jenis lain.

Malah, kajian mendapati serangga yang kebal ini boleh melepaskan daya tahan tersebut kepada anak-anaknya menjadikan populasi ini suatu hari nanti sebagai ‘kebal’ kepada semua racun serangga.

Menurut Michael Scharf yang mengetuai kajian ini :

”Ini merupakan cabaran dalam kajian lipas yang belum disedari sebelum ini.

”Lipas yang membangunkan daya tahan kepada beberapa jenis racun serangga akan menyukarkan manusia untuk mengawal serangga ini kerana hampir mustahil untuk menghapuskan dengan hanya menggunakan bahan kimia.”

Ini dibuktikan apabila lipas-lipas yang dijadikan bahan uji kaji kekal dengan bilangan yang sama. Saintis sama sekali tidak dapat mengurangkan jumlah lipas tersebut biarpun melalui pelbagai penukaran racun serangga yang berlainan untuk menghapuskanya.

Penyelidikan ini telah diterbitkan di dalam jurnal Laporan Saintifik dan akan dijadikan rujukan dalam ‘Global Cockroach Age’ yang akan datang.

Menurut Scharf, bagi mengatasi masalah ini, cara yang boleh digunakan adalah dengan mempelbagaikan kaedah rawatan menghapuskan serangga.

Ini termasuklah dengan menggunakan cara fizikal seperti perangkap dan pembersih hampagas selain menjaga kebersihan.

Patutlah selama ini penulis mendapati lipas disembur dengan racun serangga berulang kali pun susah untuk mati, rupanya makhluk ini semakin ‘kebal’ kerana mengeluarkan daya tahan tubuh yang kuat. Situasi ini memang gerun bagi si penakut lipas seperti penulis.

Sumber : CNN
Powered by Blogger.