Ads Top

Mus Tidak lagi Menjadi Vokalis May


KUALA LUMPUR: Vokalis May, Mus atau nama sebenarnya Mustaffa Din, memaklumkan dia sudah berundur daripada kumpulan itu sejak awal tahun ini.

Mus, 51, berkata keputusan itu sudah dibincangkan dan diterima baik anggota kumpulan May yang lain, namun baru kini dia bersedia membuka mulut mengenai perkara itu.

“Biarpun baru memaklumkan mengenai pengunduran saya, sudah ada yang tahu saya tidak lagi bersama May. Pendirian itu dibuat sejak awal tahun ini dan mereka menghormati keputusan saya.

“Sebelum ini, saya banyak menerima tawaran menyanyi secara solo. Tidak adil jika saya terus membawa nama May, sedangkan tawaran persembahan secara berkumpulan semakin berkurangan.

“Daripada timbul pelbagai cerita yang tidak sedap didengar, lebih baik saya tarik diri. Lagipun, keadaan kesihatan saya kurang baik, membuatkan saya terpaksa menukar gaya hidup,” katanya.

Mus berkata, sepanjang bersama sejak 1986, dia tidak pernah berdepan masalah besar dengan anggota kumpulan itu.

“Lumrah dalam sebuah kumpulan, setiap orang ada ‘kepala’ sendiri, namun semuanya dapat diatasi dengan baik. Banyak yang kami lalui bersama sejak 1986,” katanya.

Mus menegaskan, selepas ini, dia juga berharap namanya tidak lagi dikaitkan dengan May sebagai menghormati kumpulan itu.

“Saya mahu dikenali sebagai Mus dan bukan lagi Mus May kerana saya perlu menghormati mereka. Saya tidak mahu keputusan berundur ini menimbulkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak kerana saya ingin mengekalkan hubungan baik dengan mereka.

“Walaupun bergerak sendiri, saya akan terus menyanyi dan mungkin mengeluarkan single solo,” katanya.

Mus menyertai May pada 1986, namun meninggalkan kumpulan itu selepas lima tahun untuk bersama Strangers dan sempat merakamkan sebuah album.

Pada 1996, Mus menyertai kumpulan Wings sehingga 2000, namun kembali bersama May pada 2002.

Mus ditemui pada majlis sidang media Konsert Rockestra Lagenda di KL Tourism Bureau, di sini, petang tadi.

Konsert yang akan berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur pada 13 Julai ini turut menampilkan Datuk Nash, Datuk Hattan, Bandi (Amuk), Candy, selain Yantzen (Rusty Blade), Hatta (Junction), Nik (Putra), Karl (Dinamik) dan Ajin ( Blackrose).
Powered by Blogger.