eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Punca Bintat Dan Gatal Setelah Digigit Nyamuk

Berbeza dengan nyamuk jantan yang memakan nektar dan air, nyamuk betina meneruskan kelangsungan hidup dengan menghisap darah. Ia menggunakan derianya mengesan bau, komposisi kimia dalam peluh seseorang dan karbon dioksida yang dihembus untuk mencari mangsanya.

Antara target kegemarannya ialah individu yang baru lepas bersenam, minum bir, individu berdarah O, golongan lebih berat badan, wanita hamil dan mereka yang mengeluarkan lebih banyak asid urik, ammonia dan asid laktik.

Selain itu, ia juga tertarik kepada haba. Oleh itu, individu yang memakai baju berwarna hitam sering menjadi sasaran kerana sifat semulajadi warna tersebut yang lebih menyerap haba.

Gigitan nyamuk seringkali menyebabkan timbulnya bintat-bintat merah yang gatal. Tahukah anda, apakah punca benjolan kecil ini timbul?

Menurut Medical News Today, bintat ini merupakan sebahagian reaksi di mana imuniti tubuh anda bertindak terhadap protein yang terkandung di dalam air liur nyamuk tersebut.

Apabila nyamuk menggigit mangsanya, ia akan melepaskan enzim yang bertindak untuk mencairkan darah. Sistem imuniti tubuh anda akan mengenalpasti enzim tersebut sebagai bahan asing yang perlu dihapuskan.

Bagi menentang bahan asing tersebut, sistem imuniti akan membebaskan histamin yang menyebabkan saluran darah mengembang. Kadangkala, apabila terlalu banyak histamin yang dibebaskan, ia akan menyebabkan pembengkakan berlaku.

Histamin meningkatkan peredaran darah dan sel darah putih ke kawasan digigit, menyebabkan inflamasi. Rasa gatal selepas digigit juga disebabkan histamin menghantar signal kepada saraf di sekitar kawasan gigitan.

Reaksi ini mungkin tidak berlaku kepada gigitan pertama kerana sistem imun ‘mempelajari’ respon kepada bahan asing setelah didedahkan kepada bahan tersebut terlebih dahulu.

Selain itu, ada juga individu yang tidak lagi bereaksi kepada gigitan nyamuk kerana telah terbiasa terhadap air liur nyamuk dari masa ke masa.