Ads Top

Sindiket Penipuan Guna WhatsApp, Panggilan Guna Nama LHDN

Cyberjaya : Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan beberapa sindiket penipuan melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp yang mengugut orang menggunakan nama lembaga itu.

LHDN dalam kenyataan hari ini berkata terdapat sindiket menggunakan resit rasmi pembayaran cukai pendapatan LHDN yang dipalsukan dihantar menerusi aplikasi WhatsApp.

“Sindiket menghantar mesej berupa ugutan yang mengarahkan orang ramai untuk memindahkan sejumlah wang ke akaun bukan milik LHDN dan akan dikenakan tindakan mahkamah sekiranya tidak mematuhi arahan yang diberikan,” kata LHDN.

LHDN berkata modus operandi menggunakan panggilan telefon pula adalah dengan menyamar sebagai pegawai lembaga itu.

Menurutnya, penyamar tersebut akan memaklumkan mangsa mempunyai kes jenayah seperti dadah atau pengubahan wang haram dan kemudiannya panggilan tersebut akan disambungkan dengan talian palsu pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperdaya mangsa.

LHDN menegaskan pihaknya tidak menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai medium komunikasi rasmi dengan pembayar cukai dan juga panggilan telefon dengan menggunakan nama agensi awam lain.

“Sebarang urusan berkaitan pematuhan cukai hanya dilakukan menerusi kaedah panggilan telefon, surat rasmi dan e-mel rasmi daripada Hasil Care Line, Jabatan dan Cawangan LHDN,” katanya.

Sehubungan itu, LHDN menasihatkan orang ramai terutamanya pembayar cukai agar berwaspada dengan taktik sindiket itu dan segera membuat laporan polis sekiranya telah terpedaya dan jangan panik apabila menerima panggilan atau mesej sedemikian.

Katanya sebarang surat, e-mel, mesej atau panggilan telefon yang meragukan berkaitan LHDN hendaklah disahkan terlebih dahulu dengan menghubungi Hasil Care Line di talian 1-800-88-5436 atau Customer Care Officer di setiap cawangan LHDN.

Sumber : Bernama
Powered by Blogger.