Ads Top

‘Kunci’ Kes Muhammad Adib adalah Keterangan Saksi Awam

Insiden duka yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman pada November lalu mencetuskan fenomena apabila ia telah mengorbankan nyawa seorang anggota bomba, Muhammad Adib.

Lantaran itu, orang ramai sentiasa mengikuti perkembangan terbaru kes berkenaan untuk mengetahui kejadian sebenar dan mendapatkan keadilan atas apa yang menimpa kepada wira negara itu.

Harini segalanya terjawab setelah Koroner Rofiah Mohamad mengumumkan hari ini bahawa kematian Allahyarham Adib akibat hentakan trauma tumpul pada bahagian dada bukan perbuatan sendiri, tetapi adalah disebabkan perbuatan jenayah

Keterangan saksi awam yang berada pada malam kejadian rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, tahun lepas adalah antara yang  dilihat diambil kira oleh Mahkamah Koroner di sini dalam merungkai kejadian yang menimpa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Antara saksi yang berada di tempat kejadian itu adalah bekas anggota tentera Mohd Hafisan Nordin, 33, anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) R. Narresh, 30,  dan pekerja kontraktor S.Sures, 33.

Koroner Rofiah Mohamad ketika membacakan keputusannya berkata saksi ke-10, Mohd Hafisan Nordin, 33, yang merupakan pemandu kenderaan Mistubishi Storm yang berada di kawasan rusuhan itu secara tidak sengaja, memberitahu mahkamah bahawa beliau mahu membuat ‘pusingan u’ selepas melihat sekumpulan individu berada di kawasan itu.

Katanya, saksi memberitahu mahkamah bahawa beliau diberitahu oleh seorang wanita yang berjalan dari arah kuil itu: “Adik, adik jangan masuk, nanti kena pukul.

“Apabila seseorang berniat baik melarang seseorang lain daripada melakukan sesuatu kerana takut akan ditimpa sesuatu musibah, ia adalah terbit daripada pengalaman atau pengetahuan orang yang mengalami sesuatu.

“Justeru, boleh dirumuskan bahawa larangan yang dilakukan wanita itu kepada Mohd Hafisan mungkin kerana dia melihat atau ada pengetahuan bahawa seseorang telah dipukul di kawasan berkenaan.

“Maka, kesimpulan ini, amat selamat untuk diambil kira dengan keterangan saksi-saksi lain yang berada di lokasi kejadian iaitu Sures dan Naresh,” kata koroner itu.

Beliau berkata Sures yang merupakan saksi kelapan melihat aksi-aksi gerakan seperti memukul, menendang dan memijak sesuatu subjek yang dikerumuni oleh sekumpulan lelaki kira-kira 20 hingga 30 orang.

“Apabila Sures mendekati dan masuk ke dalam kumpulan itu untuk melihat subjek berkenaan, beliau mendapati subjek yang dikerumuni sekumpulan lelaki itu adalah arwah Muhammad Adib yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Sures juga ditolak dan terjatuh ke arah mangsa dalam posisi depan badan melindungi sebahagian dada arwah. Tatkala, satu sepakan juga telah hinggap ke arah beliau. Sepakan itu telah jelas menunjukkan ia ditujukkan ke arah mangsa, yang tersasar ke arah bahagian dada mangsa tetapi ia  kebetulannya tersasar ke arah saksi,” kata beliau.

Rofiah berkata Sures juga memberitahu mahkamah bahawa beliau ada mendengar perkataan ‘jangan pukul, anggota bomba pun nak pukul ke” yang diberitahu dalam Bahasa Tamil.

Ketika menjelaskan keterangan yang diberikan pembantu pegawai pembedahan Institut Jantung Negara (IJN) Mohammad Ashraf Baruji, Rofiah berkata saksi ke-16 itu yang menjaga arwah sejak beliau dimasukkan ke IJN mempunyai perhubungan jiwa iaitu ‘bonding’ di mana arwah sendiri memberitahu bahawa dia ditarik dan dipukul dalam rusuhan itu.

Selain itu, katanya arwah sendiri telah memaklumkan kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, 39, bahawa beliau  ditarik keluar daripada van Unit Bantuan Perkhidmatan  Kecemasan (EMRS) sebelum dipukul.

“Oleh itu, mahkamah merumuskan bahawa kematian arwah Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah, yang dilakukan oleh dua atau lebih tiga individu yang tidak dikenali,” katanya.

Pada 27 Nov lepas, Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

Sebanyak 30 saksi dipanggil termasuk beberapa saksi pakar memberi keterangan sepanjang inkues itu yang bermula pada 11 Feb lepas.

Sumber: BERNAMA
Powered by Blogger.