eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Bahan Kimia Daripada Plastik Pembungkus Makanan Tidak Jejas Kesihatan

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) — Pencemaran bahan kimia ‘phthalates’ daripada plastik pembungkus ke dalam makanan adalah pada tahap yang tidak membahayakan kesihatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan pemantauan sejak tahun 2002 ke atas keselamatan bahan plastik termasuk pembungkus plastik, tin minuman aluminium, botol susu, puting kanak-kanak, pembungkus gula-gula dan makanan ringan.

“Pemantauan terkini yang dijalankan dari 2017 hingga kini ke atas 130 sampel makanan mendapati tiada bahan kimia ‘phthalate’ di dalam sampel makanan yang berkenaan. Pemantauan yang dijalankan turut mendapati bahan pembungkus makanan yang terdapat di pasaran adalah selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata BKKM akan terus memantau bahan pembungkus plastik makanan yang digunakan di pasaran tempatan serta sentiasa mengikuti perkembangan saintifik di peringkat antarabangsa bagi memantau risiko terkini keselamatan makanan yang berpunca daripada bahan pembungkus plastik.

Dr Noor Hisham berkata penggunaan bahan pembungkus yang berbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan pengguna adalah dilarang di bawah Peraturan 27, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Katanya, pihak yang gagal mematuhi peraturan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun, jika sabit kesalahan.

Media tempatan baru-baru ini melaporkan alat permainan dan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik dan dijual pada harga yang murah di kedai serbaneka, mampu memberi kesan negatif kepada kesihatan pengguna kerana mengandungi bahan kimia tambahan iaitu ‘phthalates’.

Sumber: BERNAMA