eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Tercipta Untukku Lakonan Remy Ishak & Nabila Huda


TERCIPTA UNTUKKU membawa penonton mengikuti kisah percintaan di antara Thia (Nabila Huda) dan Adil (Remy Ishak) yang dilihat cukup utuh dan mampu mengatasi segala liku dan rintangan yang mendatang. Namun begitu, ketentuan Yang Maha Esa dilihat bakal merubah segalanya. Plot dan naratif penceritaan yang ditampilkan di awal telemovie ini digarap dalam suasana yang penuh dramatik dan disuntik pula dengan elemen lucu, romantik dan nakal yang diyakini mampu membuai perasaan hati para penonton.

Siri pengenalan di antara Thia dan Adil diketengahkan dalam beberapa peringkat yang mana senario pertemuan pertama mereka memperlihatkan Thia diragut dan kemudiannya diselamatkan oleh Adil yang kebetulan berada di lokasi berhampiran. Menginginkan dirinya dikasihani oleh Adil oleh kerana kejadian malang itu, sangkaan Thia ternyata meleset apabila beliau dimarahi Adil dek kerana kecuaiannya. Pertemuan kali kedua di klinik yang sama pada malam kejadian mengeruhkan lagi keadaan apabila kedua-duanya dilihat bergaduh dan terus menyalahkan diri masing-masing di atas apa yang berlaku. Pertemuan Adil buat kali ketiga di sekolah ketika menghantar anak buahnya, Alif merubah segalanya apabila Adil kini tidak dapat melupakan Thia. Thia yang merupakan guru kepada Alif dilihat begitu istimewa di mata Adil dan beliau nekad untuk memenangi hati Thia.

Pelbagai dugaan dan rintangan mendatang dari saat perkenalan dua hati ini, episod percintaan mereka sehinggalah ke gerbang perkahwinan. Thia dan Adil telah disahkan mengidap barah otak tahap keempat dan diberikan jangka masa enam bulan sebelum ajal datang menjengah. Hati mana yang tidak luluh terutamanya apabila kedua-duanya mengimpikan perkahwinan terindah hingga ke usia emas.

‘Ya, selamanya saya tercipta hanya untuk awak seorang’…. Sebuah ungkapan yang sangat mendalam, tulus dan kuat. Sekuat cinta Thia dan Adil. Mereka berpegang kepada ungkapan ini, sehinggalah nyawa mereka dijemput Penciptanya.

Mengulas mengenai buah tangan terbaharu Astro First Eksklusif ini, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Dato’ Khairul Anwar Salleh berkata, “Secara peribadinya, saya begitu teruja setelah menonton FTV ‘Tercipta Untukku’ ini. Filem ini sarat dengan drama yang mampu menggolak emosi para penonton seterusnya memberi impak besar terhadap reaksi yang diberikan. Namun begitu, demi mengekalkan momentum tahap keterujaan setiap mereka yang menontonnya, pengarahnya; Jamal Khan bijak menyelitkan unsur-unsur yang pelbagai seperti romantik dan lucu namun pada masa yang sama mengusik perasaan penonton dengan babak-babak yang mampu meruntun jiwa kita semua. Keserasian dan persembahan mantap yang ditampilkan oleh kedua-dua watak utama yang diterajui Remy Ishak dan Nabila Huda ini ternyata merupakan percaturan bernas Jamal.

Tahniah diucapkan kepada beliau dan semua barisan produksi ‘Tercipta Untukku’ di atas kejayaan menzahirkan sebuah naskhah sehebat ini.

Tambah Dato’ Khairul lagi, “Kami di Astro First Eksklusif akan terus menyajikan filem-filem tempatan yang diklasifikasikan sebagai premium dan memiliki kualiti setanding dengan filem-filem yang berada di pawagam. Ianya terbukti apabila filem-filem yang ditayangkan di saluran ini berjaya memenangi hati penonton seperti Cinta Paling Agung, New York Cinta, Jelmaan, Angin Cinta dan banyak lagi.

Saya yakin, ‘Tercipta Untukku’ ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan mampu menjadi hadiah istimewa untuk peminat filem-filem tempatan bersempena dengan 1 Syawal ini. Struktur pengisian dan garapan jalan cerita yang kuat, terjemahan kasih sayang di antara Thia dan Adil yang dilihat cukup menyentuh perasaan dan diapit pula dengan sentuhan Jamal yang sebelum ini begitu dikenali dengan rangkaian telefilem dan drama-drama popular seperti ‘Bukan Kerana Aku Tak Cinta’, ‘Jodoh Itu Milik Kita’ dan banyak lagi, saya percaya ‘Tercipta Untukku’ ini akan mencipta satu lagi kejayaan hebat”.

Novel ‘Tercipta Untukku’ yang diadaptasi daripada telefilem yang bakal disiarkan mulai 6 Julai ini turut telah berada di pasaran sejak dari bulan Oktober 2015. Novel ini boleh didapatkan secara online di laman web Karya Seni atau di kedai-kedai buku berhampiran.

Pada masa yang sama, sebuah lagu tema telah dihasilkan khas untuk ‘Tercipta Untukku’. Disampaikan oleh penyanyi popular, Hazama, lagu “Sedetik Lara” ini mendapat sentuhan Tam Spider dan lirik ditulis oleh Keon Khirin Omar.