eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Kementerian Kesihatan Siasat Punca Sebenar Pelajar Hadapi Myokymia


Cyberjaya : Kementerian Kesihatan akan melakukan pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar penyakit Myokymia yang dihidapi seorang pelajar setelah dipercayai terdedah kepada pencemaran toksik Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, pada Mac lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata pihaknya perlu mendapatkan kepastian sama ada penyakit berkenaan yang menyebabkan beberapa anggota badan menggeletar mempunyai kaitan dengan pencemaran toksik berkenaan.

”Banyak kemungkinan punca kepada penyakit Myokymia ini, kadangkala kerana tumor otak atau penyakit lain. Jadi kita kena kenalpasti apa punca penyakit berkenaan sebelum boleh buat sebarang rumusan.

“Kita akan buat siasatan dan pemeriksaan lanjut sama ada ia berkaitan (kesan pencemaran) atau tidak,” katanya ketika ditemui sumber selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2019 di sini hari ini.

Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, setelah sukar untuk bernafas dipercayai akibat terhidu gas beracun semasa sesi persekolahan.

Irfan Wafiy disahkan positif Myokymia setelah kesnya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim pada Mac lepas menjejaskan kira-kira 4,000 penduduk termasuk pelajar sehingga menyebabkan 111 sekolah di kawasan tersebut diarahkan tutup sementara.

Sumber : Bernama