eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Tok Batin Jadi Ikon Gigi Orang Asli


Sungkai : Seramai 21 Orang Asli yang berpengaruh dalam masyarakatnya di Perak ditauliahkan sebagai Ikon Gigi Orang Asli (iGG-OA) dalam program perintis bagi menyampaikan mesej berkaitan kesihatan pergigian dengan meluas mulai tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata kesemua iGGOA yang terpilih berkenaan merupakan Tok Batin daripada daerah  Batang Padang, Muallim, Kampar, Kinta, Perak Tengah dan Hilir Perak.

“Hasil kajian yang dijalankan bagi mengenal pasti tabiat dan kepercayaan Orang Asli suku Semai pada 2001 mendapati berubat sendiri merupakan kaedah utama penyembuhan selain mendapatkan bantuan orang asli yang pandai mengubati penyakit yang dikenali sebagai ‘Tok Halaq’.

“Namun setelah pemeriksaan mendapati penyakit disebabkan kuman atau tidak mampu diubati Tok Halaq, pesakit akan dinasihati untuk mendapatkan rawatan dengan doktor maka peranan Tok Halaq atau individu berpengaruh seperti Tok Batin memainkan peranan penting dalam menentukan kesihatan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Program iGG-OA Peringkat Kebangsaan 2019 anjuran Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak A. Sivanesan dan Ketua Pengarah Jakoa Prof Dr Juli Edo.​​​​

Beliau berkata iGG-OA akan bertindak sebagai pemudah cara untuk meningkatkan kesedaran dalam masyarakat mereka tentang kepentingan kesihatan pergigian.

“Penemuan daripada kajian kebangsaan National Oral Health Survey for Adults 2010 mendapati sembilan dari 10 orang dewasa di negara ini mempunyai masalah penyakit gusi manakala 89 peratus orang dewasa mempunyai masalah karies pergigian,” katanya.

Katanya kajian juga menunjukkan ramai individu yang merasakan mempunyai kesihatan pergigian yang baik namun setelah pemeriksaan dilakukan, hampir 98.3 peratus memerlukan rawatan pergigian.

Dr. Dzulkefli berkata dari segi perkhidmatan kesihatan pergigian, seramai 46,898 populasi Orang Asli di seluruh negara ini telah menerima manfaat perkhidmatan kesihatan pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun lepas merangkumi perkhidmatan di fasiliti pergigian statik dan bergerak.

Program Ikon Gigi dilaksanakan selari dengan Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020) dan Pelan Tindakan KKM 2016-2020, Teras Strategik 3: Memperkukuh Individu, Keluarga dan Masyarakat Mengenai Kesihatan.

Sehingga kini, seramai 500 Ikon Gigi yang terdiri daripada kumpulan profesional sehingga surirumah ditauliahkan di seluruh negara dan telah menyampaikan mesej-mesej kesihatan pergigian kepada seramai 30,000 orang pada tahun lepas.

Sementara itu,Tok Batin dari Kampung Kampung Hijau di sini yang dipilih sebagai iGG-OA, Yok Raman, 54, berkata beliau diberikan panduan daripada KKM untuk memberi kesedaran dalam masyarakat Orang Asli mengenai penjagaan kesihatan khususnya pergigian.

 “Saya secara sukarela sebagai ikon gigi akan berada di tempat-tempat tumpuan Orang Asli untuk menyampaikan mesej-mesej mengenai kesihatan pergigian seperti cara membersihkan gigi dengan betul, penjagaan pemakanan dan sebagainya.

“KKM juga sering bersama-sama mengadakan program-program kesedaran mengenai kesihatan pergigian di perkampungan Orang Asli” katanya.

Sumber : Bernama