eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Ibu Bapa Maut Kemalangan, Tiga Beradik Jadi Yatim Piatu


KUANTAN, 3 Oktober (Bernama) – Tiga beradik menjadi yatim piatu sekelip mata, selepas ibu bapa mereka maut apabila kereta mereka dinaiki bertembung dengan lori di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Seremban, Rompin dekat sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kemalangan pada 5.30 pagi tadi, menyebabkan Muhammad Noor Idham Ramli, 31, yang memandu kereta jenis Perodua Myvi maut di tempat kejadian.

Manakala isterinya Surawati Mohd, 33, yang berasal dari Kampung Gong Merawang Rhu Muda di Marang, Terengganu, disahkan meninggal dunia di unit kecemasan Hospital Muadzam Shah, Rompin pada 8 pagi tadi.

Kemalangan turut menyebabkan anak pasangan itu, Aryan Rizqy, 6, Areesh Razeen, 4, dan Arfaan Rakeen, 2, cedera ringan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki mangsa sekeluarga dari arah Kuantan menuju ke Seremban, terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori membawa muatan baja, yang tidak sempat mengelak ekoran jarak terlalu dekat.

“Kemalangan menyebabkan Muhammad Noor Idham yang merupakan seorang juruwang tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, pemandu lori yang berusia 43 tahun dan berasal dari Yong Peng, Johor turut mengalami kecederaan ringan.

Katanya jenazah mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

Sumber: BERNAMA