eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Setia Hingga Hujung Nyawa ,Setianya Suami Sehingga Nafas Terakhir Isteri

Ketika kita masih merungut hanya kerana makan lauk yang sama hari-hari, kediaman panas kerana tidak mempunyai penghawa dingin di musim panas terik ingatlah bahawa masih ada insan yang lagi susah dan memerlukan dari kita.

Tidak semua orang di muka bumi ini bernasib baik hidup dalam serba mencukupi segalanya. Lebih malang lagi apabila ada juga insan yang sangat daif sehingga tidak mampu untuk membiayai kos menguruskan jenazah ahli keluarga sendiri.

Atas sifat keprihatinan sesama manusia yang menyedari hakikat ini, seorang lelaki di Sabah giat menguruskan perkhidmatan van jenazah secara percuma bagi mereka yang tidak berkemampuan. Menurut pemilik akaun Facebook Abam Botak ini setiap jenazah yang diuruskan atau ditolong mempunyai cerita yang tersendiri yang menyayat hati termasuk lah kisah pakcik ini.

Kelmarin malam aku menerima panggilan daripada jiran si mati. Katanya, perlukan kain kafan untuk keperluan jirannya yang betul-betul miskin.

Aku katakan, boleh. Kain kafan ini memang untuk orang-orang yang memerlukan. Bagi saja saya alamatnya, saya akan datang ke sana sekarang. Kata jirannya, besoklah kau hantar botak. Besok baru kami uruskan. Tanpa bertanya banyak aku pun ia kan sajalah.

Keesokan harinya aku pun bergegas ke sana, kedatanganku disambut oleh suami arwah. Terus dia datang memelukku seeratnya. Katanya terima kasih banyak kerana sudi membantunya dan juga arwah isterinya. Air matanya mengalir deras sekali. Aku juga tidak dapat menahan sebak dan turut menangis bersamanya.


Sambil menunjuk dapurnya. Dia berkata disitulah akan dimandikan dan ada jiran-jiran kampung yang akan uruskan jenazah isterinya.

Hatiku mulai lega, Alhamdulillah segalanya sudah diatur dan tinggal tunggu urusan pengebumian saja. Dalam aku mengelamun sendirian, tiba-tiba suaminya bercakap denganku semula.

Kau tengoklah dapurku, apa pun tiada. Gas memasak pun tiada. Tiada apa-apa yang dapat aku berikan kepada kamu sebagai balasan membantuku.

Aku tidak membalas kata-katanya. Aku hanya diam dan hiraukan saja. Tapi dalam hatiku, aku menangis. Masih ada lagi insan yang susah dariku.

Sambungku, jadi apalah yang pakcik pakai untuk masak dan makan.

Jawabnya;

Aku membeli nasi putih di pasar 50sen sajalah. Kalau ada duit lebih dapatlah aku beli lauk untuk dimakan bersama isteriku. Ya, Allah. Mendengar dia cakap begitu. Aku pun bertambah menangis.



Arwah ini hanya hidup berdua bersama suaminya, mereka tidak mempunyai anak, saudara mara dan harta untuk dibanggakan.

Maknanya siapa yang meninggal awal, yang hiduplah akan uruskan jenazah yang pergi dulu.
dan begitulah sebaliknya.

Mereka berdua hidup menyewa disebuah bilik kecil dengan kadar bayaran 100ringgit sebulan. Kalau seringgit saja yang mereka ada dalam tangan, maka seringgit sajalah kadar sewa yang akan dibayar kepada tuan rumah. Untung tuan rumah pula tidak memaksa mereka untuk memberikan bayaran penuh kepadanya. Berapa yang ada, begitu sajalah diambilnya.

Meskipun mereka hidup susah sebagai pasangan suami isteri. Susah senang mereka tetap hidup bersama.

Apa yang membanggakan saya dan menjadi pengajaran kepada saya. Mereka berdua tetap setia hingga ke hujung nyawa. Hari ini banyak kita dengar kes penceraian rumahtangga berlaku kerana masalah kewangan.

Namun dua insan ini mampu pertahankan cinta dan rumahtangga mereka sehingga akhir hayat. Meskipun hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. SemogaAllah ampunkan dosa isterinya dan mengganjari isterinya dengan syurganya.