eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

(Video) Covid-19:Ini Ujian Kami Sekeluarga

KETIKA rakan setugas mengerah keringat sebagai petugas di barisan hadapan, Dr Samsu Ambia Ismail pula tidak dapat turut serta kerana dikuarantin di wad Hospital Teluk Intan, Perak selepas disahkan positif jangkitan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Pakar Kecemasan berusia 49 tahun itu tidak bersendirian kerana isterinya, Mazriemi Mohd Zaki, 40, dan lima anak berumur lapan hingga 18 tahun turut dijangkiti Covid-19.

Menurut Dr Samsu, dia dimasukkan ke wad sejak 22 Mac lalu selepas dua ujian saringan dijalankan menunjukkan dirinya positif.

Katanya, pada hari berikutnya , isteri dan anaknya pula dimasukkan ke wad kerana sebab sama.

Tujuh beranak itu mulanya mendapat rawatan di Hospital Ipoh sebelum dipindahkan ke Hospital Teluk Intan.

“Saya bekerja sebagai doktor di sini (Hospital Teluk Intan) dan memang terdedah dengan jangkitan kerana faktor persekitaran.

“Mulanya, saya mengalami sakit sendi kemudiannya demam serta sesak nafas dan keadaan itu membuatkan anak serta isteri merasakan ada yang tidak kena.

“Jujurnya, saya berbelah bagi untuk membuat ujian dan cuba tahan kesakitan kerana memikirkan bagaimana jika saya di wad atau ada di antara ahli keluarga kami negatif,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dr Samsu berkata, mereka sekeluarga kemudiannya disahkan positif Covid-19 dan dikuarantin di wad sama .

Meskipun diuji, Dr Samsu reda dan kini sabar menanti keputusan ujian selanjutnya daripada doktor dengan harapan dia sekeluarga bebas wabak berkenaan.

“Apa yang berlaku menyedarkan saya mengenai nikmat kesihatan yang adakalanya kita alpa ketika sihat dan percaya ada hikmah di sebalik ujian ini.

“Salah salah satunya adalah kami sekeluarga dapat berkumpul walaupun di dalam wad dan berbekalkan pengalaman dalam bidang perubatan, saya gunakannya untuk melakukan pemantauan sendiri serta melaporkannya kepada jururawat bertugas bagi memudahkan tugasan mereka.

” Tiada guna menyalahkan sesiapa pada waktu ini kerana semua yang dijangkiti adalah mangsa dan sebaiknya, kita berdoa kepada Allah supaya diberi kesembuhan,” katanya yang berkhidmat di Hospital Teluk Intan sejak 11 tahun lalu.

Sementara itu, anak sulungnya, Erika Syamim, 18, berkata, masa yang ada di wad digunakan sebaiknya untuk mengeratkan lagi hubungan sesama mereka sekeluarga.

Sekalipun diuji dengan penyakit itu, Erika bersyukur kerana tidak berseorangan sebaliknya bersama ahli keluarga lain termasuk ibu dan ayahnya.

“Sebenarnya, ketika ayah disahkan positif lagi saya sudah jangkakan yang kami semua juga terkena jangkitan penyakit berkenaan kerana tinggal serumah.

“Jadi, perasaan panik itu tidak ada kerana sama-sama dimasukkan ke hospital malah sepanjang di wad, saya rasa seperti berada di rumah cuma tidak dapat melakukan rutin harian seperti selalu.

“Alhamdulillah, ramai mendoakan kami sekeluarga selepas terbaca perkongsian saya di Twitter dan terima kasih kepada semua.

“Saya harap orang ramai turut mendoakan pesakit lain diberi kesembuhan dan berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bekerja keras sejak adanya wabak ini di dalam negara,” katanya.