eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

99 Sen Satu, Econsave Tawar 10 Juta Penutup Hidung Dan Mulut Mulai Esok

Kulai: Atas rasa keprihatinan supaya semua individu berpeluang memiliki penutup hidung dan mulut di musim pandemik COVID-19 ini, pasar raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave) tampil menawarkan kepada pelanggan 10 juta unit barangan berkenaan pada harga serendah 99 sen seunit.

Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam berkata penutup hidung dan mulut tiga lapisan itu dibawa masuk secara berperingkat dari China dan mula dijual di semua cawangan pasar raya terbabit di seluruh negara mulai esok.

”Walaupun harga siling bagi penutup hidung dan mulut adalah RM1.50 seunit seperti ditetapkan kerajaan, namun, Econsave merasakan bukan waktunya ketika ini untuk pihak kami (Econsave) meraih keuntungan.

”Ini sebahagian besar tanggungjawab sosial korporat kami kepada masyarakat, sehubungan itu, kami menawarkannya pada harga yang rendah berbanding harga siling,” katanya yang ditemui pemberita di Econsave Senai, di sini hari ini.

Mas Imran berkata untuk kawasan zon merah COVID-19 di seperti Simpang Renggam dan Johor Bahru, sebanyak 100,000 unit penutup hidung dan mulut itu ditawarkan di setiap Econsave di kawasan berkenaan, zon kuning (40,000 unit) manakala zon hijau (30,000 unit).

”Penutup hidung dan mulut ini dijual dalam bungkusan mengandungi 50 unit berharga RM49.50 yang bersamaan 99 sen seunit,” katanya dan menambah setiap pelanggan hanya dibenarkan membeli satu bungkusan sahaja bagi mengelak mereka menjual semula di pasaran pada harga tinggi.

Dalam pada itu, Mas Imran berkata selain penutup hidung dan mulut, Econsave turut menawarkan cecair pembasmi kuman tangan kepada pelanggan menerusi jenama Econsave sendiri.

Beliau berkata barangan terbabit yang dijual pada harga mampu milik akan memasuki pasaran Johor dalam masa terdekat.

Sumber: Bernama