eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Dr Amalina Sertai Pasukan Penyelidik Vaksin Covid-19 Imperial College UK

Kuala Lumpur: Pelatih pakar bedah kelahiran Malaysia Dr Nur Amalina Che Bakri menyertai pasukan saintis Imperial College di London dalam usaha mencari vaksin bagi memerangi COVID-19, yang kini tersebar di seluruh dunia.

Dalam akaun Twitter peribadinya Dr Amalina berkata beliau terlibat dalam mengambil sukarelawan yang sihat berpangkalan di United Kingdom (UK) untuk memudahkan ujian terhadap vaksin yang dijalankan di Institut Penyelidikan Kesihatan Kebangsaan (NIHR) Imperial College.

”Ujian pertama vaksin UK telah dijalankan di kemudahan penyelidikan klinikal NIHR Imperial @imperialcollege yang diketuai oleh Dr Katrina Pollock. Saya terlibat dalam mengambil sukarelawan sihat dan memvaksin mereka dalam beberapa minggu lagi,” ciapnya pada Rabu.

Dr Pollock adalah Felo Penyelidik Klinikal Kanan dalam Vaksinologi dan Perunding Kehormat dalam Perubatan Genitouriner dan HIV di Imperial College London dan Imperial College Healthcare NHS Trust.

Dr Amalina berkata: ”Ini adalah satu daripada dua vaksin yang akan kami uji di Imperial College. Usaha yang hebat daripada pasukan Imperial dan sangat teruja menanti hasilnya!”

Dr Amalina berkata ia merupakan ”kajian kerjasama dengan Oxford. Imperial dan Oxford menguji vaksin yang sama.”

Beliau turut berkongsi ciapan @ImperialMed yang mencari sukarelawan.

Sementara itu, Setiausaha Kesihatan UK Matt Hancock dalam akaun Twitter rasminya berkata: ”Ujian vaksin terhadap manusia yang pertama di UK bermula pada Khamis (23 April). Kami memberi segala sokongan yang diperlukan untuk memastikan keberhasilan vaksin itu kepada kedua-dua pasukan UK di Imperial dan Oxford”.

Menurut satu artikel oleh Imperial College, kerajaan UK akan menyediakan 22.5 juta pound bagi mempercepatkan proses penghasilan vaksin koronavirus oleh Imperial.

Sumber: Bernama