NILAI, 24 April – Sejak beberapa hari yang lalu, akaun laman Facebook ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official’ menjadi sebutan dalam kalangan warganet, yang berkongsikan pelbagai jenis masakan mereka yang tidak menjadi, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Akaun itu yang mula diwujudkan pada 14 April, menjadi tular dan dalam tempoh 10 hari, pengikut akaun Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official ini, telah mencecah 1.5 juta orang sehingga ia turut menjadi sebutan ketika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyampaikan perutusan khasnya yang disiarkan secara langsung, semalam.
Pengasas akaun Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official Norlaila Dollah-Ahmed, 46, berkata akaun itu yang diwujudkan dengan niat hanya untuk berkongsi masakannya dan pengguna Facebook yang tidak menjadi dan beliau tidak menyangka ia akan menjadi tular sehingga turut mendapat perhatian Perdana Menteri.
“Tercetus idea untuk buat akaun ini sebab saya suka masak dan suka berkongsi resepi dalam Facebook saya, ada juga yang cuba masak ikut resepi saya tetapi tidak jadi, dan saya sendiri pun pernah masak serunding tetapi tidak jadi dan ia hangus, dari situ saya terfikir boleh dikongsi di dalam Facebook, untuk kita santai-santai bergelak ketawa waktu-waktu PKP ini.
“Lepas akaun ini diwujudkan, pengikut makin lama makin ramai dan ia terus menjadi tular sehingga Perdana Menteri pun tahu kewujudan akaun ini dan itu memang saya tidak sangka sama sekali,” katanya kepada Bernama di sini.
Ibu dua orang anak ini berkata, sejak akaun itu disebut Perdana Menteri dalam ucapan khasnya semalam, seramai 200,000 permohonan baharu yang ingin menjadi pengikut akaun berkenaan.
“Ketika ini kami ada 20,000 ‘post’ yang masih ‘pending’ belum dapat kami siarkan, sebab terlalu banyak dan permohonan baharu untuk menjadi pengikut akaun ini juga sangat ramai…kami perlukan masa untuk tapis perkongsian kami dan permohonan pengikut.
“Saya terasa juga tempiasnya bila tengok orang ramai komen positif dan gelak ketawa, bila melihat perkongsian-perkongsian yang menarik…suami saya sendiri yang dahulunya seorang yang susah nak gelak, tetapi boleh nampak gelak ketawa dia bila tengok perkongsian orang ramai dalam akaun ini,” katanya.
Norlaila yang menjalankan perniagaan kedai makan di Nilai di sini berkata, namun di sebalik komen positif, terdapat juga sesetengah pihak yang menimbulkan isu mendakwa kononnya akaun ini diwujudkan, untuk orang membazirkan makanan dan menghina makanan.
“Niat asal saya untuk kita santai-santai bergelak ketawa sahaja, bukan sampai menghina makanan dan bukan juga untuk dijadikan bahan untuk orang yang sengaja buat masakan mereka tidak jadi, kemudian post dan ‘gilakan’ komen serta ‘like’ dan akhirnya membuat pembaziran.
“Sebab itu kami kena tapis, mana-mana masakan yang kami tengok sengaja dibuat-buat tidak menjadi atau gambar google, kami tidak akan siarkan,” katanya.
Justeru, Norlaila turut meminta agar pengikut akuan itu lebih berhati-hati terhadap setiap komen yang diberikan, bagi memastikan mereka tidak menghina makanan dan membuat mana-mana pihak terasa hati.
Sumber: Bernama