eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Pos Malaysia Tidak Leka, Terus Berkhidmat Kepada Masyarakat

gambar hiasan Sumber googel

KUALA LUMPUR, 9 April — Jenama Pos Malaysia pasti terlintas dalam fikiran masyarakat apabila terdapat keperluan untuk mendapatkan perkhidmatan penghantaran barangan di dalam dan luar negara.

Sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu bagi mengekang penularan wabak COVID-19, Pos Malaysia bersama-sama dengan penyedia perkhidmatan penting negara, terus memainkan peranan utama dalam memastikan kesalinghubungan negara dan akses kepada barangan penting.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor, berkata pihaknya telah meningkatkan usaha bagi memastikan perkhidmatan pos dan kurier tanpa gangguan kepada orang ramai khususnya bagi ubat bagi pesakit atau individu yang mempunyai keperluan tertentu dihantar ke rumah masing-masing.

“Petugas kami bekerja sepanjang masa dalam tempoh PKP bagi memastikan barangan keperluan penting dan pembelian dalam talian dihantar ke destinasi pelanggan.

“Permintaan untuk menghantar bungkusan sepanjang tempoh PKP telah menunjukkan peningkatan susulan aktiviti pembelian dalam talian oleh pelanggan yang duduk di rumah…ini adalah petanda baik kerana ini menunjukkan masyarakat patuh kepada peraturan PKP dan jarakan sosial,”  katanya kerpada Bernama, baru-baru ini.

Syed Md Najib berkata semasa PKP, pesakit yang terpaksa tinggal dalam rumah boleh bergantung kepada Pos Malaysia untuk menerima bekalan ubat yang dihantar kepada mereka dari lebih 160 buah hospital kerajaan.

“Kementerian Kesihatan kini menawarkan perkhidmatan penghantaran ubat melalui pos secara percuma selama tiga bulan sehingga 30 Jun ini. Pos Malaysia bangga menjadi sebahagian daripada usaha mulia ini yang dapat membantu meringankan beban pesakit dalam masa yang mencabar ini,”  katanya.

Selain itu, katanya, Pos Malaysia juga menghantar barangan keperluan sebagai sebahagian daripada kempen ‘Stay Home Essential’  melalui platform e-dagang Shopee dengan bertujuan menggalakkan pelanggan untuk berada di rumah dan membeli barangan keperluan secara dalam talian.

“Kami menjamin masyarakat bahawa barangan seperti surat, bungkusan dan barangan dihantar ke seluruh negara berada dalam keadaan baik dan selamat,”  katanya.

Beliau turut mengingatkan pelanggan supaya menggunakan alamat rumah untuk penghantaran apabila membuat pembelian dalam talian kerana Pos Malaysia tidak dapat menghantar barangan kepada alamat perniagaan yang ditutup semasa tempoh PKP.

Syed Md Najib berkata Pos Malaysia mempunyai kira-kira 23,000 pekerja di seluruh negara dengan lebih 15,000 daripada mereka berada di barisan hadapan termasuk dalam [perkidmatan kaunter, pemprosesan, pengurusan pengangkutan, penghantaran mel dan kurier.

Beliau memberi jaminan bahawa syarikat itu telah melaksanakan langkah keselamatan dan kesihatan yang sangat ketat untuk memastikan petugas barisan hadapan dan pelanggan sentiasa dilindungi dan rasa selesa dan selamat ketika berurusan dengan Pos Malaysia.

“Pos Malaysia mengambil langkah pencegahan dengan petugas perkhidmatan kaunter dan penghantaran wajib menggunakan penutup mulut dan hidung, pakai sarung tangan dan guna cecair pembasmi kuman serta mengamalkan jarakan sosial, sekurang-kurang satu meter serta saringan suhu badan di semua pejabat pos dan outlet perkhidmatan pos,”  katanya.

“Barangan yang disampaikan oleh posmen atau penghantaran melalui Pos Laju, amalan tanpa sentuhan diguna pakai di mana pelanggan tidak perlu menandatangani dokumen atau hanya nombor pengenalan disebut apabila menerima barangan, justeru mengurangkan kontak rapat antara petugas dan pelanggan,”  katanya.

Beliau berkata waktu operasi untuk semua cawangan Pos Malaysia di seluruh negara telah dipendekkan dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang kepada 8.30 pagi hingga 3 petang dan beberapa outlet yang terletak dalam premis swasta dan kerajaan ditutup sepanjang tempoh PKP.

Syed Md Najib berkata pelanggan boleh melakukan bayaran bil dan memperbaharui insurans kenderaan dan insurans perjalanan dalam talian menerusi posonline.com.my dan juga boleh menggunakan perkhidmatan Pos Laju Ezibox dengan mengambil bungkusan mereka di 255 lokasi di seluruh negara.

Di samping itu, katanya, semasa tempoh PKP, platform penghantaran PosLaju SendParcel turut diteruskan di 681 pejabat pos, 99 pusat Pos Laju, 169 kedai serbaneka, 7-Eleven dan 170 lokasi Ezibox di seluruh negara serta perkhidmatan mel antarabangsa dan Express Mail Service (EMS) yang terhad kepada destinasi negara-negara tertentu.

Pos Malaysia juga menjalin kerjasama dengan CollectCo Services Sdn Bhd (CollectCo), sekali gus memperluaskan perkhidmatan penghantaran dan penerimaan bungkusan kepada 30 premis rakan kongsi CollectCo termasuk premis kedai serbaneka dan farmasi.

Syed Md Najib juga menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu atau maklumat yang berniat jahat yang boleh menimbulkan rasa tidak percaya dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, susulan beberapa berita dan mesej palsu dalam aplikasi WjatsApp berkaitan dengan Pos Malaysia.

“Kami menggalakkan orang ramai untuk terus bersatu dan mematuhi peraturan PKP dalam masa yang sukar ini kerana usaha kolektif diperlukan untuk membantu kerajaan memutuskan rantaian virus COVID-19.

“Pada masa sama, penyebaran berita dan mesej palsu dilihat sebagai satu lagi virus yang berpotensi untuk menimbulkan rasa curiga dan menjejaskan semua usaha untuk berada dalam keadaan selamat,”  katanya.

Bagi sebarang bantuan dan pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pos Malaysia menerusi AskPos di pos.com.my atau Twitter @pos4you,

Sumber: BERNAMA