eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Ibu Kucing Usung Anak Ke Hospital, Seolah-Olah Mahu Dapatkan Rawatan

Bagi pencinta haiwan khususnya yang membela kucing, jika si comel itu sakit, pasti mereka menjadi tidak keruan serta risau akan keadaannya.

Biasanya jika kucing yang bertuan, tiada masalah sekiranya jatuh sakit kerana ia mempunyai tuan untuk membawanya ke klinik veterinar.

Namun bagi kucing jalanan, siapakah yang membela nasib mereka?

Media sosial hari ini dikejutkan dengan beberapa keping gambar yang tular berkenaan seekor ibu kucing yang membawa anaknya ke hospital, dilihat seakan mahu mendapatkan bantuan rawatan.


Kejadian comel tersebut dilaporkan berlaku di Turki; negara yang sinonim dengan rakyat pencinta kucing dan ia dirakam sendiri oleh seorang individu, Merve Ozcan sebelum dimuat naik ke Twitter.




Dalam kapsyennya dia berkata,

“Hari ini kami berada di bahagian kecemasan di hospital. Seekor ibu kucing datang tergesa-gesa membawa anaknya dengan mulut.”

Memetik ulasan di boredpanda.com, media Turki melaporkan bahawa sejurus kucing itu tiba di bahagian kecemasan di situ, petugas kesihatan segera ambil perhatian terhadapnya dan terus memeriksa keadaan anak kucing itu untuk mengetahui kondisi kesihatannya.

Kekal tindak berganjak memerhati anaknya diperiksa

Difahamkan, sepanjang para petugas tersebut memeriksa badan anaknya, ibu kucing itu langsung tidak berganjak dari tempatnya dan memerhatikan setiap tingkah laku mereka semua, mungkin agak berjaga-jaga daripada sebarang kemungkinan.

Bagaimanapun, hasil ‘pemeriksaan’ mendapati, tiada sebarang kecederaan atau sakit yang dikesan di badan anak kucing tersebut.

Dalam pada itu, petugas kesihatan warga Turki itu terus menzahirkan perasaan kasih pada kucing dengan memberikan dua beranak itu susu dan makanan sejurus selesai menjalankan ‘saringan’.


Semuanya sihat, tapi perlu diperiksa lebih lanjut di veterinar

Si ibu dan anak kucing itu diberi makan agar mereka berasa lebih selesa dan tenang di situ.

Tambah ulasan media tempatan lagi, meskipun tidak mengalami sebarang sakit, kedua-dua si comel itu terus dihantar ke klinik veterinar untuk menjalani pemeriksaan lanjut bagi memastikan mereka kekal sihat, ceria dan bahagia.


Sumber: Twitter, boredpanda.com