eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Gli ‘Si Kucing’ Dibenar Terus Tinggal Di Hagia Sophia

Setelah Hagia Sophia bertukar status menjadi masjid semula, ramai orang yang tertanya-tanya bagaimana nasib Gli, kucing gebu yang selama ini menjadi penunggu setia monumen bersejarah itu.

Untuk semua peminat Gli anda tak perlu khawatir, kerana pihak berkuasa Turki telah memutuskan, Hagia Sophia tetap menjadi kediaman kucing tersebut.

Menurut laporan, kucing betina berbulu kelabu dengan mata hijau ini sudah lama menjadi penghuni tetap Hagia Sophia lebih dari satu dekad.

Dengan lebih 50 ribu pengikut di laman Instagram, Gli bukan kucing seperti kucing-kucing yang lain. Malah, bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama juga pernah dirakamkan membelai kucing tersebut.

Ibrahim Kalin, Jurucakap Presiden Tayyip Erdogan mengatakan bahawa Gli, serta semua kucing yang lain dibenarkan untuk terus tinggal di Hagia Shopia.

“Kucing itu telah menjadi sangat terkenal. Dia akan tetap berada disini dan kami akan menerima kucing-kucing yang datang ke masjid kami,” katanya.

Perkara ini pasti menjadi berita baik kepada Umut Bahceci, seorang pemandu pelancong yang bertanggungjawab memulakan akaun Instagram @hagiasophiacat sejak 4 tahun yang lalu dan kini mempunyai seramai 53,900 pengikut. Akaun tersebut dipenuhi dengan gambar kucing bersama pengunjung yang tertarik dengan tingkah Gli.

“Saya mula memerhatikan gelagat Gli yang seperti model kerana dia pasti akan melakukan ‘pose’ semasa bergambar dengan pengunjung Hagia Sophia,” katanya kepada Reuters.

“Saya sering mendapat pesanan dari peminat Gli seperti ‘kami akan datang ke istanbul untuk kamu’. Ini perasaan yang sangat baik!” tambahnya.