eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Shuib Nak 'sponsor' Dr Noor Hisham Bercuti



PELAWAK, Shuib Sepahtu menawarkan penajaan percutian dalam negara kepada Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai tanda terima kasih kepada beliau yang memimpin barisan hadapan bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Shuib yang juga juruhebah Hotfm membuat tawaran itu secara spontan ketika sesi dialog bersama media dalam menangani pandemik Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

"Ada plan (perancangan) nak cuti?

"Kalau Datuk nak bercuti saya sanggup sponsor (taja), tetapi jangan luar negara mahal, dalam negara ok," katanya.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham sambil tersenyum memberitahu beliau lebih selesa untuk berehat di rumah selepas penat bekerja.

"Isu dia bukan soal bercuti, cuti untuk rehat di rumah saja, kalau kerja 20 jam sehari banyak masa berehat di rumah saja daripada pergi berjalan sini berjalan sana.

"Bukan saya saja penat, tetapi semua petugas barisan hadapan sebab kita sudah bekerja tujuh bulan tanpa henti, tetapi ketika kes makin berkurangan saya benarkan mereka take a break," katanya menjawab soalan Shuib.

Menurutnya, ketika ini pihaknya bimbang peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 yang memerlukan pasukannya bekerja keras semula.

"Saya hanya mewakili 250,000 petugas KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), jadi kerjasama padu antara kami dengan satu matlamat iaitu memutuskan jangkitan Covid-19 dalam negara," katanya.