Berikutan penahanan seorang pendakwah selebriti atas dakwaan merogol, pihak polis menyeru sekiranya terdapat individu lain yang mendakwa menjadi mangsa agar tampil membuat laporan.
Menerusi laporan Sinar Harian, perkara itu ditegaskan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan.
Menurut Siti Kamsiah, siasatan menyeluruh akan dilakukan termasuk mengesan mereka yang memuat naik posting di laman media sosial.
Ia bertujuan bagi mengambil keterangan berhubung tular dakwaan terdapat individu yang dikatakan menjadi mangsa pendakwah berusia 25 tahun berkenaan.
“Kita meminta mangsa atau saksi yang membuat pendedahan tampil buat laporan polis untuk membantu siasatan,” katanya yang memberitahu hanya terdapat satu laporan polis diterima.
Tambah beliau, sekadar pendedahan atau komen di media sosial tanpa menyalurkan maklumat kepada pihak polis tidak banyak membantu siasatan tersebut.
Semalam, suspek yang juga penceramah bebas direman selama lima hari untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian