eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Kucing Ketagih Catnip Sampai Tak Dapat Kawal Diri Buat Ramai Terhibur

 


Tidak seperti manusia, kucing mempunyai organ aroma tambahan yang disebut sebagai kelenjar vomeronasal yang terletak di lelangit mulut mereka.

Kelenjar vomeronasal ini membawa aroma yang dikumpulkan dalam mulut ke otak, dan itulah yang berlaku apabila kucing diberikan catnip, sejenis herba dalam keluarga pudina yang membuat mereka bekelakuan ganjil.

Catnip bertindak sebagai feromon yang mampu membuat kucing terlalu teruja atau khayal sehingga mereka akan berguling-guling dan ketagih.

Sebuah video TikTok yang tular di Twitter menunjukkan seekor kucing yang diberikan catnip sehingga dia bertindak di luar batasan.



Kucing yang dihulurkan sebekas catnip bertulis ‘dadah kucing’ itu dengan begitu tamak menjilat daun di dalam bekas berkenaan sehingga dia dapat memegang erat bekas catnip itu dengan tangannya sendiri.

Malah apabila pemilik kucing itu cuba untuk menghalangnya dari terus menjilat catnip berkenaan, dia enggan melepaskan atau menjauhkan mukanya dari botol tersebut.

Pemilik kucing itu cuba sedaya upaya untuk memisahkan kucing berkenaan dan menarik botol catnip itu dari haiwan tersebut namun kucing itu tetap berkeras.

Dia juga akhirnya mencengkam tangan pemiliknya dengan kuat kerana tidak membenarkan botol catnip itu diambil daripadanya membuat wanita itu menjerit sakit.

Gelagat kucing tersebut yang terlalu ketagih membuat rata-rata netizen terhibur.