eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Pok SU Mie, OKU Tanpa Tangan Gigih Usahakan Kolam Ikan Keli Tanggung Keluarga

 


MACHANG, 22 Jan (Bernama) — Meskipun dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan, Rahim Yusoff, tidak mahu terus berpeluk tubuh mengenangkan nasib dirinya, malah berusaha mencari rezeki halal bagi menyara keluarganya.

Rahim, 54, yang lebih mesra dikenali sebagai Pok Su Mie berkata beliau beralih angin untuk mengusahakan ternakan ikan keli selepas pendapatannya sebagai tukang jahit merosot susulan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Sejak penularan COVID-19 pada Mac lepas, pendapatan saya sebagai tukang jahit sangat merosot sehingga untuk mendapatkan sekitar RM100 sebulan hasil menjahit pun amat memeritkan berbanding sebelum ini, saya mampu memperoleh sekitar RM20 sehari.

“Disebabkan itu, saya terpaksa mencari alternatif lain dengan menternak ikan keli bagi menampung isteri Noraidah Hamzah, 46 yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal serta tiga anak berusia antara lapan hingga 17 tahun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Pangkal Gong di sini, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Pok Su Mie berkata idea untuk menternak ikan air tawar berkenaan timbul apabila beliau melihat gelung simen yang terbiar di kawasan sekitar rumahnya.
“Sebanyak 14 gelung simen yang berada di kawasan sekitar rumah saya ini digunakan bagi menahan pasir sebagai benteng, namun ia seakan-akan terbiar begitu sahaja.

“Bagi memanfaatkanya, pada awal September lepas saya membeli sebanyak 300 benih ikan keli berharga 20 sen setiap satu dan 100 benih ikan tilapia berharga 5 sen yang dibeli daripada Jabatan Perikanan Kuala Krai yang menelan modal permulaan sekitar RM300 termasuk kelengkapan untuk menternak ikan,” katanya.

Bagaimanapun, usaha penternakan ikan air tawar beliau itu berdepan masalah sehingga menyebabkan ikan-ikan ternakannya mati.

Belajar daripada kegagalan itu, Rahim mengikuti kursus aquaponik yang dijalankan Persatuan Pertanian Kelantan (Alami) secara percuma yang disediakan buat golongan OKU untuk mengusahakan penternakan ikan.

“Saya menternak ikan tanpa mengetahui selok-belok penternakan sehingga menyebabkan kira-kira sekitar 250 ikan keli dan ikan tilapia yang dipelihara mati, namun ia tidak mematahkan semangat saya.

“Malah, saya juga mendapati penjagaan ikan tilapia agak rumit dan sensitif berbanding ternakan ikan keli memandangkan ia memerlukan air yang sentiasa bersih, jadi bagi mengelak daripada terpaksa menanggung kerugian, saya mengambil keputusan tidak lagi menternak ikan tilapia,” katanya.

Rentetan itu, beliau menyediakan peruntukkan sebanyak RM80 untuk membeli pelet makanan ikan keli untuk stok sehingga tiga bulan bagi 300 ekor ikan yang diternaknya, selain perlu mencuci air ternakan ikan, setiap dua hari.

Pok Su Mie berkata, selepas melihat potensi ternakan ikan keli yang mampu memberi pulangan yang memberangsangkan, beliau menambah sebanyak 700 benih ikan keli pada pertengahan November lepas.

“Hasil ternakan ikan keli peringkat pertama saya mampu menjual hampir 200 ekor ikan keli iaitu sekitar 15 kilogram kepada penduduk sekitar pada RM7 sekilogram.

“Melihat kepada pasaran jualan ia sekali gus memberikan semangat kepada saya untuk mengembangkan ternakan ikan keli ini dan saya merancang menternak ikan patin dalam tempoh terdekat,” katanya yang turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 dan isterinya RM350.

Seorang pembeli, Zulkifli Abdul Rahman, 52 berkata beliau sering mendapatkan bekalan ikan keli daripada Pok Su Mie untuk dimasak dengan pelbagai menu.

“Saya sering mendapatkan bekalan ikan dari Pok Su Mie untuk membantu beliau sedikit sebanyak dapat menampung keluarganya. Malah, ikan air ternakannya juga kurang bau hanyir berbanding ikan ternakan air tawar yang dibeli di kedai,” katanya.

Sumber: BERNAMA