eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Tahanan Remaja Dakwa Dirogol Dalam Lokap, 2 Polis Digantung Kerja

 

Kes rogol bukanlah satu jenayah biasa, malah ia sesuatu yang menakutkan dan akan memberi kesan besar dalam kehidupan seseorang wanita.

Semalam, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun membuat laporan polis mendakwa dirinya dirogol tahanan lain ketika berada dalam lokap Balai Polis Pusat Miri, Kuching pada 9 Januari lalu.

Menurut laporan Harian Metro, perkara tersebut didedahkan oleh Senator Alan Ling Sie Kiong menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.


Hasil siasatan polis, remaja tersebut mendakwa ditahan sewaktu sedang bekerja di sebuah restoran makanan laut kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram pada 8 Januari lalu sebelum dimasukkan ke dalam lokap berkenaan.

Malah, remaja itu juga mendakwa dia merupakan satu-satunya wanita yang ditahan di lokap berkenaan dan diletakkan di sel berasingan dengan 12 lagi tahanan lelaki selain sel tahanan lelaki itu tidak berkunci.

Dakwanya lagi, kejadian malang itu berlaku antara jam 4 hingga 5 pagi, apabila seorang tahanan lelaki yang memiliki kunci lokap tahanan wanita membuka pintu sel dan membawanya ke tandas balai polis sebelum merogolnya.


Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata kejadian berkenaan memang berlaku dan tahanan lelaki terbabit sudah pun didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

“Saya tidak boleh memberi maklumat lanjut sehingga siasatan selesai dalam masa terdekat,” katanya dimana kes akan disebut semula di Mahkamah Miri pada 9 Februari nanti.

Rentetan peristiwa tersebut, dua anggota polis yang bertugas ketika kejadian itu berlaku digantung kerja serta-merta sementara pihak polis melakukan siasatan lanjut.

Sumber: Harian Metro (Mohd Roji Kawi) , Twitter @redzuanNewsMPB