eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Wanita Terbaring Akibat Diragut, Polis Berjaya Berkas Peragut 8 Jam Selepas Kejadian

 


SHAH ALAM, 19 Jan – Polis menahan seorang lelaki selepas rakaman tindakannya meragut beg tangan seorang wanita di Eco Sanctuari, Telok Panglima Garang, dekat sini, tular di media sosial, kurang 24 jam selepas kejadian itu dilaporkan pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata warga tempatan berumur 25 tahun itu ditahan di sekitar Shah Alam kira-kira pukul 4.00 petang hasil maklumat awam dan risikan polis.

Beliau berkata terdahulu wanita berumur 51 tahun itu melaporkan sendiri kejadian sekitar pukul 8.20 pagi itu di Balai Polis Telok Panglima Garang.

“Polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai milik mangsa ragut dalam kes ini semasa tangkapan suspek dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu satu rakaman video berdurasi 1 minit 37 saat tular di media sosial, memaparkan seorang wanita diragut seorang lelaki yang menaiki motosikal dengan menggunakan senjata.

Menerusi rakaman video berkenaan, wanita yang baru keluar dari keretanya dilihat didatangi suspek yang kemudian bertindak mengejar wanita itu ketika beliau cuba menyelamatkan diri serta menjerit meminta tolong.

— BERNAMA