Oleh kerana perasaan sayang yang tidak berbelah bagi, seorang usahawan telah meninggalkan harta pusaka bernilai AS$5 juta (RM20.2 juta) untuk anjing peliharaannya. Anjing jutawan yang bernama Lulu itu tinggal di Nashville, Tennessee, Amerika Syarikat.
Pemiliknya, Bil Dorris dilaporkan telah meninggal dunia pada hujung tahun lalu. Rakan Dorris iaitu Martha Burton yang berusia 88 tahun, sudah beberapa tahun menjaga Lulu ketika pemiliknya keluar atas urusan kerja dan perlukan seseorang untuk menjaganya semasa dia tiada.
Pemilik Lulu juga sebelum ini tidak mempunyai masalah meninggalkan anjing peliharaannya bersama Burton. Semasa menerima berita kekayaan yang diwarisi Lulu, Burton sememangnya terkejut namun percaya itu semua adalah kerana rasa sayang Dorris yang sangat tinggi buat anjing jutawan itu.
“Saya tak tahu apa yang harus difikirkan tentang wasiat ini tapi sebenarnya, dia sangat menyayangi anjing itu.”
Wasiat tersebut menetapkan bahawa lebih RM20 juta itu akan diletakkan dalam amanah untuk menjaga Lulu dan anjing itu harus tinggal bersama Burton. Manakala wanita itu akan diberikan perbelanjaan bulanan biasa seperti yang diluluskan oleh konservator yang menguruskan amanah itu.
Walaupun Lulu kini bergelar anjing jutawan, itu tidak bermaksud Burton akan membeli hadiah mewah atau makanan mahal lain kerana dia tidak mungkin akan menghabiskan semua wang untuk merawat satu anjing.
Dilaporkan pemilik Lulu adalah seorang usahawan yang berjaya dan mempunyai pelaburan hartanah yang meluas. Oleh kerana dia tidak berkahwin dan mempunyai sesiapa bagi mewarisi kekayaaannya, Lulu adalah satu-satunya keluarga yang dia ada. Namun tiada siapa tahu bagaimana nasib hartanya jika satu hari nanti anjing jutawan itu sudah tiada lagi.
Kalau anda nak tahu, ini bukanlah kali pertama haiwan peliharaan diberikan harta kemewahan oleh pemiliknya. Sebelum ini pada tahun 2015, seorang wanita Queens menulis wasiat untuk meninggalkan kekayaan mengandungi perhiasan, dana amanah dan rumah percutian kepada anjing peliharaannya berbaka Maltese.
Sumber: newschannel5