Selepas melayar bahtera perkahwinan selama 19 tahun, pelakon dan pengarah terkenal, Ellie Suriaty Omar dan suaminya, Azri Iskandar telah memutuskan untuk berpisah.
Hal tersebut dinyatakan menerusi laporan dari portal Getaran apabila memaklumkan pasangan tersebut sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur (Keramat), Kuala Lumpur pada Selasa (17 Mei 2022).
Difahamkan, pemenang anugerah Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-26 menerusi filem Penanggal telah memfailkan permohonan cerai ke atas suaminya sebelum Ramadan yang lalu.
Dah tiada persefahaman
Menurut Ellie, 52, keputusan untuk berpisah itu terjadi kerana mereka sudah tiada lagi persefahaman selepas 19 tahun melayari bahtera perkahwinan.
“Ini adalah suatu keputusan yang sukar untuk saya buat. Tetapi, saya sudah memikirkannya masak-masak dan akhirnya, ia perlu dilakukan.”
Bapa yang baik buat anak2
Walau bagaimanapun, pelakon berkenaan sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada bekas suaminya kerana pernah melalui pengalaman manis bersama-sama sepanjang mereka berumah tangga.
Dia juga menegaskan yang aktor berkenaan merupakan seorang bapa yang cukup baik buat anak-anak mereka.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Azri untuk segala saat-saat indah, kenangan manis serta pengalaman hidup yang kami lalui bersama sebagai suami isteri.
“Dia juga seorang bapa yang baik dan cukup menyayangi anak-anaknya.
Tapi, rasanya sudah tertulis sampai di sini sahaja jodoh kami. Saya berharap ramai yang akan mendoakan yang terbaik untuk kami,” katanya.
Untuk rekod, Azri Iskandar, 54, dan Ellie Suriaty mendirikan rumahtangga pada tahun 2003. Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya iaitu Azrell, Nur Azreen, dan Nur Aliah.