eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Ameera Khan masih proses perbaiki diri,belum berhijab penuh –Ibu


Ibu kepada selebriti dan usahawan popular, Neelofa iaitu Datin Noor Kartini mengakui anak perempuannya Ameera Khan masih belum mengenakan hijab sepenuhnya.

Menurut laporan BH Online, Noor Kartini berkata, selebriti media sosial itu masih dalam proses ke arah lebih baik dan memohon orang ramai mendoakan yang baik-baik sahaja.



“Jika tengok Ameera, dia bukan bertudung penuh. Dia masih pakai topi, ikat rambut dan sebagainya. Maksudnya, Ameera masih dalam fasa melatih dirinya.

“Jadi, saya rasa lebih kita mendoakan yang baik-baik sebab perkara baik akan berbalik kepada kita juga, insya-Allah,” katanya.

Wanita berusia 55 tahun itu berkata, dia meluahkan rasa syukur kerana anak-anaknya tidak melakukan perkara tidak senonoh meskipun membesar dengan cara hidup bandar.




“Saya bersyukur, boleh dikatakan tiada satu pun anak-anak saya orang nampak berada di kelab malam, minum, mabuk dan merokok. Semuanya tiada.

“Kalau ikutkan dengan cara kehidupan di ibu kota ini, banyak benda lebih teruk. Tetapi, Alhamdulillah, kita duduk di sekeliling keluarga.

“Ameera lebih banyak keluar dengan adik-beradiknya, kecuali acara membabitkan jenama besar yang menjemputnya hadir seorang diri,” ujarnya.



Namun begitu, Noor Kartini tidak melatah sebaliknya sedar bahawa keluarganya agak dikenali dan sering menjadi perhatian ramai sekali gus akan dikecam sekiranya melakukan kesalahan kecil sekalipun.

Tambahnya, dia perlu kuat apabila berdepan situasi itu selain mengambil pendekatan tidak mengambil kisah mengenai komen negatif dilemparkan netizen.

“Sebab ramai menghantar mesej langsung kepada kami dan minta maaf kerana pernah mengata. Saya hanya ucapkan Alhamdulillah, Allah bukakan hati mereka.

“Manusia tiada yang sempurna, jadi apabila mendoakan perkara baik-baik, baik juga kita akan dapat,” kongsinya.

Sumber: BH Online , Noor Kartini & Ameera Khan