eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

‘Bunyi Sebijik Macam Dalam Kaset’-Hattan Hilang Kata2 Lepas Tengok Konsert Search,Din Dan Kid Tapau Habis




” Berbaloi datang konsert ini. Saya layan habis!”

Itu pujian melambung diberikan oleh penyanyi Datuk Hattan yang hilang kata-kata ketika menyaksikan persembahan mantap kumpulan Search pada Konsert Search Rockin On Rooftop di Kompleks Campbell, malam tadi.

Menurut Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabudin, 57, persembahan yang dibarisi Din dan Kid selaku pemain gitar, Yan (bass) dan Minn (drum) serta vokalis baharu, Denden Gonjalez itu memiliki kehebatan tersendiri.

” Saya sudah lama tidak mendengar muzik sebegini. Memang ‘sound’ Search ada pada Din dan Kid. Bila saya dengar Din memainkan lagu Teguh, saya sedih, seperti mahu menangis.

” Saya sangat seronok. Saya rindu nak tengok Din dan Kid main dan saya berpuas hati. ‘Sound’ yang diberikan memang puas hati.

” Kunci ‘sound’ Search itu memang ada pada Din dan Kid. Tiada siapa boleh menafikan.

” Tanyalah siapa pun, saya pasti mereka mempunyai pendapat yang sama. Berbaloi datang konsert ini. Saya layan habis menonton konsert ini,” katanya.


Hattan puji habis Denden

Menurut Hattan, dia juga terkejut dengan kehebatan vokalis baharu Search yang berasal daripada Indonesia itu.

” Dia menyanyi sedap, melekat dan memang ‘sesuatu’ Denden ini. Mula-mula saya tengok dia seorang yang pemalu, tapi bila tengok tadi, dia nyanyi memang sedap.

” Saya harap Search terbang tinggi ke negara seberang. Saya percaya kalau mereka keluar album penuh, boleh meIetup dan ia boleh merentasi pasaran Indonesia kerana penyanyinya dari Indonesia.

” Usai konsert saya ada berbual dengan Datuk M Nasir, kami mengatakan sekiranya mereka keluar album, lagunya mesti sedap. Saya juga berharap mereka akan menjalankan siri jelajah,” katanya.

Selain Hattan, Konsert Search Rockin On Rooftop turut dimeriahkan dengan kehadiran Datuk M Nasir dan Ramli Sarip. Pada konsert yang berlangsung lebih dua jam itu, Search mendendangkan 17 buah lagu.

Alunan muzik Din dan Kid macam dalam kaset, mengimbau betul…

Sementara itu, kata-kata Hattan yang memuji Din dan Kid seakan dipersetujui oleh peminat Search.

Ini berdasarkan komentar yang ditinggalkan di beberapa laman sosial termasuk youtube yang memaparkan vdeo lagu Teguh pada konsert malam tersebut.

” Macam dalam keset bunyi dan alunan muzik mereka… teringat zaman remaja ku tahun 1991

” Dari semalm sampi ke jam ni aku mash tgok konsert semlm… betul2 mcm dlm cd…rindu nya zaman ini….

” Malam tadi rasa mcm balik ke era 80an..teguh ni antara lagu yang terbaik search main live dan jarang2 dlm live concert…tq denden vokal lu mmg mantop..

” Sempurna… vocal dan solo guitar… Umurku 53 sekarang…terasa muda kembali bila tengok live concert nie..” itu antara ratusan komen ditinggalkan peminat sejati kumpulan Search.


Peminat tetap setia walau bermandi hujan

Dalam pada itu, kehadiran lebih 3,000 peminat pada Konsert Search Rockin On Rooftop di Kompleks Campbell di sini, malam tadi, membuktikan biarpun tanpa Amy, persembahan band legenda yang menampilkan Denden Gonjalez sebagai vokalis, tetap berbisa.

Nyata, aura Search yang ditubuhkan sejak 1981, utuh biarpun pelbagai kontroversi melanda hingga band rock legenda itu bagai terbahagi dua.

Kehadiran Denden mengubat rindu peminat terhadap persembahan bertenaga kumpulan rock ikonik itu.

Biarpun konsert bermula agak lewat iaitu pada jam 9.30 malam berikutan hujan, namun, peminat setia menanti dalam kebasahan.

Pada konsert lebih dua jam itu, Search mendendangkan 17 lagu. Tirai konsert dibuka lagu Bencana, Metropolitan dan Pasti.

Search terus membuat peminat terpaku dengan lagu Purnama, Melastik Ke Bintang, Di Pintu Sepi, Bersalah Atau Tidak, Speech, Rock N Roll Pie.

Turut didendangkan adalah lagu Fantasia Bulan Madu, Bencana, Metropolitan,Teguh, Neo Romantik dan Mentari Merah Di Ufuk Timur.

Tambah manis, konsert itu dihangatkan dengan persembahan Ratu Rock, Ella yang menyanyikan lagu Melayar Bahtera dan Bayangan secara duet bersama Denden.

Tidak hanya itu, malam itu turut menyaksikan rakan seperjuangan seperti Datuk M Nasir, Datuk Hattan dan Datuk Ramli Sarip hadir memberi sokongan.

Bertemu Kid usai persembahan, pemain gitar itu risau melihat hujan yang tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti sebelum konsert.

” Kami risau sebab hujan seperti tidak akan berhenti. Namun, hujan adalah rezeki buat kami… Alhamdulillah. Tidak sangka sangka kehadiran peminat yang cukup luar biasa.

” Peminat setia menanti walaupun terpaksa bermandi hujan,” katanya.

Kid berkata, kehadiran vokalis baharu Search, Denden perlu dipuji meskipun kali pertama beraksi pada konsert berskala besar bersama mereka.

” Kami berpeluang bersama dalam waktu yang agak singkat. Namun, kami gandakan usaha dan latihan. Akhirnya, kami dapat hasil yang baik malam ini (malam tadi).

” Denden beri sepenuh tenaga yang dimiliki demi meneruskan legasi Search,” katanya.


Kid turut berterima kasih kepada abangnya, Din yang banyak memberi semangat kepada ahli kumpulan untuk meneruskan perjuangan.

” Pujian harus diberi kepada Din. Kita tahu apa yang berlaku. Din ada tunjang utama malam ini (malam tadi). Terima kasih kepada peminat yang hadir.

” Melihat kepada sokongan malam ini, ia beri Search semangat untuk terus berjuang… Mungkin ada hadiah buat peminat,” katanya.

Selain Kid, Denden dan Din, Konsert Search Rockin On Rooftop turut menampilkan Yan yang bermain bes dan dan Minn (drum).

Sementara itu, Denden gembira dapat menjayakan persembahan itu dengan baik.

” Pada mulanya gementar untuk menyanyi di hadapan peminat Search. Namun, selepas itu, semuanya okay. Maklum balas peminat di Indonesia juga baik.

” Saya lihat banyak komen yang memberi sokongan. Terima kasih untuk semuanya kerana terus menyokong kami. Saya akan ingat malam ini sampai bila-bila,” katanya.

Awal bulan ini, Konsert Endemik Search 2022 dibarisi Amy, Nasir Daud, Hillary Ang dan Man Kidal berlangsung di sebuah premis acara, di sini.


Sumber:hmetro