eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Kanak2 kritikal terpaksa ditidurkan ada kandungan dadah dalam badan

 


Sejak semalam, tular di media sosial berkenaan laporan berkenaan seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun kritikal  di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu selepas terdapat kandungan dadah dalam badannya.

Tak tahu dibawa keluar

Kanak-kanak tersebut dipercayai dibawa bapa saudaranya ke suatu tempat sebelum pulang semula ke rumah ibunya selepas tiga jam. Ibu kanak-kanak berkenaan juga memaklumkan yang anaknya dibawa keluar tanpa pengetahuannya.

“Saya tidak tahu dia dibawa keluar bapa saudaranya kerana tiada di rumah namun jam 5 petang ketika pulang, keadaan anak saya lemah dan sangkakan dia letih bermain.”

“Tidurnya juga tidak nyenyak dan sering tersentak membuatkan saya tidak sedap hati selain wajahnya kelihatan semakin pucat.”

“Saya tersedar jam 1 pagi tadi (semalam) dan melihat keadaan dia semakin teruk yang mana keseluruhan tubuhnya pucat dan sangat lemah seolah sudah meninggal dunia,” kata wanita berusia 36 tahun itu.


Doktor kata perlu ditidurkan

Menerusi perkembangan terkini kanak-kanak tersebut, ibu kanak-kanak berkenaan memaklumkan yang anaknya masih lagi kritikal dan pihak hospital terpaksa menidurkannya buat sementara waktu kerana kondisi yang sangat lemah.

“Doktor memaklumkan anak saya perlu ditidurkan kerana keadaannya yang sangat lemah kesan daripada dadah itu.

“Pilu hati saya melihat keadaannya sebegitu dan walaupun dia tidak sedarkan diri, saya tetap berbisik di telinganya agar bukakan mata dan segera sembuh.”


Nak anak sedar, tak kisah macam mana keadaannya nanti

Tambahnya lagi, dia tidak kisah andai anaknya tidak boleh berjalan atau mempunyai kesan lain susulan daripada kejadian itu asalkan dia sedar dan membuka mata.

“Saya hanya inginkan anak sedar sahaja, tidak mengapa kalau dia tidak boleh berjalan atau ada kesan lain, itu sahaja yang saya harapkan,” katanya ketika dihubungi sumber.


Tambah wanita itu, anaknya merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan baru sahaja boleh berjalan.

Terdahulu, laporan berita telah mendedahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun kritikal selepas pemeriksaan mendapati terdapat kandungan Methamphetamine dalam badannya.

Disebabkan itu, seorang buruh yang juga bapa saudaranya  berusia 30 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

Suspek yang memiliki tiga rekod lampau berkaitan dadah direman sehingga 26 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber: Harian Metro (Siti Rohana Idris)