eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Puteri Sarah nekad saman Ira Kazar selepas dicabar-“Sampai bila nak dipijak-pijak?”

 

Pelakon cantik, Puteri Sarah Liyana memberitahu dirinya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap orang ketiga yang telah menganggu rumah tangganya selama ini.

Menurut siaran langsung Harian Metro, selebriti berusia 36 tahun nekad untuk meneruskan saman terhadap pihak ketiga seperti yang dimaklumkannya sebelum pergi menunaikan umrah bulan lalu.

Pemilik nama Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu mengatakan tindakan saman ini adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut rumah tangganya setelah empat tahun memendam perasaan.

“Empat tahun saya berdiam diri untuk bagi dia peluang. Kalau boleh saya tak nak selesaikan masalah ini di mahkamah dan biarkan satu Malaysia tahu.

“Tapi, apabila sudah sampai ke tahap ini, dia sudah biadap,”kata Puteri Sarah ketika ditemui di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shah Alam pagi tadi.


Pada masa yang sama, isteri kepada pengarah terkenal, Syamsul Yusof itu memaklumkan selama ini dia turut mempunyai niat untuk mengambil tindakan (saman) sekiranya pihak ketiga mencabar.

Tetapi, apabila memikirkan mengenai beberapa perkara iaitu keluarga dan perkahwinan pada masa itu dia terus membantutkan niatnya.

“Masa itu, saya masih fikir apa akan jadi pada saya, keluarga dan perkahwinan kami. Masa itu, saya mungkin tidak matang juga dan tidak nampak hala tuju. 

“Selepas buat solat istikarah dan balik daripada umrah, baru saya nampak jalan. Kali ini, memang saya buat untuk diri sendiri dan keluarga. Sampai bila nak dipijak-pijak?”luahnya.


Lega dengan keputusan membawa kes ini ke mahkamah, ibu kepada dua orang cahaya mata ini berharap agar dengan tindakan yang dilakukan olehnya ini dapat membuka mata para isteri di luar sana sekiranya mereka mengalami nasib yang sama dengannya.

“Untuk wanita yang mempunyai masalah seperti saya, saya dah buka jalan untuk korang. 

“Lepas ini, sesiapa nak ambil orang punya, boleh fikir-fikirkan dahulu. Saya nak pesan juga, dah ambil orang punya duduk diam-diam. Jangan kacau orang,”tegasnya.

Dikesempatan itu, Umi Kartini (peguam yang mewakili Sarah) memberitahu pihak ketiga diminta untuk berhenti menganggu anak guamnya di media sosial selain perintah dan permohonan tersebut telah dihantar pada 28 Jun lalu dan diterima oleh defendan.

“Dia (Ira) diperintahkan untuk hadir ke mahkamah seksyen pada empat Julai depan,” jelasnya.

Terdahulu, tular di media sosial yang mengatakan Syamsul Yusof itu sudah bertunang dengan Ira Kazar. Bagaimanapun, spekulasi itu dinafikan oleh Syamsul.