eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Cuma Perlu Upah Aiskrim , Si Cilik Usia 3 Tahun Ini Sudah Gigih Bantu Ibu Meniaga di Gerai

 


Buat para peniaga kecil-kecilan, ada kalanya mereka terpaksa membawa anak mereka menjual sekali di gerai kerana tiada siapa yang menjaga.

Bagaimanapun, sesetengah gerai menjadi lebih mudah dikenali dengan gelagat dan keletah anak-anak kecil ini sebagai penyeri suasana.

Seperti video tular baru-baru ini, kepetahan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun membantu ibunya meniaga di kedai mencuit hati ramai!


Ibu Nur Aleesya Aafiyah Khairol Anuar atau lebih mesra disapa Yaya, Anis Mahadi, 34, berkata anaknya itu memang peramah dan pandai bercakap kerana sudah diajar untuk bercakap dengan betul sejak kecil.

Kata Anis, Yaya sentiasa membantu di kedai kek miliknya yang terletak di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur dan mengikutnya berniaga di Kompleks C Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

“Waktu saya rakam tu memang kawan dia yang datang beli dan anak peniaga kat situ juga. Saya buka gerai di Kompleks C bangunan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) Putrajaya. Jadi setiap hari Selasa dan Jumaat Yaya memang akan ikut saya berniaga sekali.

“Pukul 11 pagi macam tu saya keluar rumah, Yaya ikut sama. Dia tak meragam walaupun tempoh tu lama juga bagi budak-budak. Saya berniaga dari pukul 11 pagi sampai 2 petang.

“Kalau dekat kedai saya ada pekerja. Tapi dia pun sama naik nak tolong juga. Macam-macam dia buat dan kadang-kadang tu tolong kopek pisang, mop lantai, sapu lantailah. Semua dia nak buat,” ujarnya.

Menurut Anis, dia dan suami sememangnya tidak mengajar anaknya bercakap pelat.

“Dia cakap lancar cuma ada satu huruf sahaja kalau dia sebut perkataan ada huruf L mesti akan bunyi pelat. Kalau baru kenal Yaya ni pemalu, lama-lama dia peramah,” ujarnya sambil menambah Yaya merupakan anak kedua daripada dua adik-beradik.

Tambah Anis yang berasal dari Pasir Tumboh, Kelantan, Yaya sedikit sebanyak membantu mengembangkan lagi perniagaan kek pisang Baby Bites dan tat kejunya.

Pertolongan yang dihulurkan oleh anaknya itu akan ‘dibayar’ dengan aiskrim dan enggan endah dengan komen negatif kerana menganggap ia sekadar penghargaan buat Yaya.

“Cara Yaya ajak orang tu buat ramai yang singgah dan beli. Ada juga yang mesej nak beli lepas tengok video Yaya yang saya muat naik di TikTok. Ada yang kata Yaya comel jadi mereka datang beli.

“Lepas balik jual memang kena beli aiskrim Magnum untuk upah dia tolong. Kalau bagi aiskrim lain tak nak. Nak aiskrim Magnum sahaja. Beli aiskrim lain macam-macam alasannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anis tidak menyangka video yang dikongsi di TikTok itu tular dan hanya mendapat tahu apabila dimaklumkan oleh anak lelakinya.

Video Yaya juga mendapat perhatian saudara-mara lain yang menganggap si cilik itu telah memberikan ‘marketing percuma’ dan dia perlu mendapat ‘upah’ lebih.

“Saya tahu viral pun sebab abang Yaya bagitahu. Terkejut juga bila tengok views tu sebab sebelum ni saya dah ada muat naik video Yaya tolong berniaga tapi tak viral.

“Mak saudara Yaya cakap ni marketing percuma ni. Kena bayar lebih sebab dialah ramai yang mesej dan datang beli kek pisang dengan tat keju tu,” ujarnya.



@sipenjualkekpisang #tolongmamaniaga ♬ original sound - Anies
sumber:@sipenjualkekpisang