eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Dipukul Ketika Makan, Ibu Pilu lihat rakaman CCTV Anak Didera Pengasuh Taska

 


Menerusi video yang tular, kelihatan pengasuh terbabit telah bertindak menendang, memukul, menarik rambut serta menampar kanak-kanak tersebut.

Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan tindakan seorang pengasuh mendera seorang kanak-kanak lelaki yang berusia empat tahun di sebuah taska di Sabah.

Menerusi video rakaman litar tertutup (CCTV) yang tular di Facebook itu, kelihatan pengasuh terbabit telah bertindak menendang, menampar, menarik rambut serta memukulnya dengan menggunakan pembaris beberapa kali semasa memberi makanan kepada kanak-kanak lain.

Malah apa yang lebih memilukan turut kedengaran suara si ibu kesedihan tatkala melihat video anaknya diperlakukan sebegitu.

Bapa tak sanggup lihat anak dikasari

Bapa kepada kanak-kanak itu bagaimanapun tidak mahu melihat video tersebut kerana tak sanggup melihat anaknya dikasari sebegitu rupa.

“Saya sendiri tidak sanggup lihat rakaman video daripada CCTV anak saya ditendang dan ditampar di bahagian muka dan kepala. Ibu bapa mana tidak sedih anak diperlakukan sedemikian.

“Malah lebih memilukan saya, ketika hendak makan, anak saya turut ditampar dan dipukul guna pembaris berkali-kali,” ujarnya

 
 
Bapa kanak-kanak didakwa kasari pengasuh taska
Terbaharu, bapa kepada kanak-kanak itu didakwa telah mengasari pengasuh taska berkenaan. Ianya selepas wanita itu membuat satu laporan polis yang mengatakan dia telah diperlakukan sebegitu rupa oleh lelaki terbabit.

Selain pengasuh terbabit, pengusaha taska berkenaan turut membuat laporan sama.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah memaklumkan polis kini telah menerima sebanyak tiga laporan mengenai kes tersebut.

Ujarnya, tiga laporan itu adalah daripada ibu kanak-kanak (mangsa), pengusaha taska serta pengasuh taska (suspek) yang mendakwa dirinya telah dikasari oleh lelaki berkenaan.

“Mangsa kanak-kanak dan suspek dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk pemeriksaan doktor.

“Setakat ini, dua kertas siasatan dibuka iaitu mengikuti Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” jelasnya lapor Harian Metro.

Kanak-kanak maklum pada ibu bapa telah dikasari pengasuh
Menurutnya, sebelum ini polis telah mengesan video berhubung kes tersebut yang menunjukkan budak lelaki terbabit dikasari oleh pengasuh taska berkenaan yang berlaku di Luyang, Kota Kinabalu, Sabah.

“Ibu bapa kepada kanak-kanak (mangsa) itu dimaklumkan oleh anaknya bahawa dia dikasari pengasuh taska sehingga mendapati kesakitan di beberapa bahagian tubuhnya.

“Ibu kanak-kanak itu pergi ke taska berkenaan dan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati anaknya (mangsa) dikasari oleh seorang pengasuh di taska berkenaan lalu membuat laporan polis di Balai Polis Penampang.”

sumber: Hmetro