eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Penganjur GVF2023 Tuntut The 1975 Ganti Rugi RM12.3 Juta Atau Berdepan Tindakan Di England

 


Kumpulan pop rock Britain, The 1975 telah diberi notis tujuh hari oleh penganjur Festival Good Vibes 2023 (GVF2023), Future Sound Asia (FSA) untuk membayar lebih daripada RM12.3 juta sebagai ganti rugi berhubung kontroversinya pada baru-baru ini.

Peguam David Mathew yang mewakili FSA memberitahu Malaymail bahawa firma tersebut telah menghantar surat tuntutan bertarikh 7 Ogos 2023 kepada The 1975.

“Dalam surat tersebut, FSA menuntut agar The 1975 mengaku tanggungjawab mereka dan juga membayar jumlah sebanyak £2,099,154.54 (RM12,347,967.91) dalam masa tujuh (7) hari.

“Surat Tuntutan ini ditulis mengikut peruntukan English Practice Direction Pre-Action Conduct and Protocol yang merupakan sebahagian daripada English Civil Procedure Rules,” katanya.

Tindakan undang-undang ini diambil berikutan pembatalan GVF2023 pada bulan lalu susulan tindakan vokalis kumpulan terbabit, Matt Healy yang telah mencetuskan kontroversi semasa melakukan persembahan pada malam pertama festival terbabit.



Tuntutan dilakukan kerana The 1975 sengaja langgar kontrak

Menurut David, tuntutan yang dilakukan oleh FSA terhadap The 1975 pada dasarnya adalah kerana pelanggaran kontrak yang disengajakan.

“Wakil Healy dengan tegas memberikan jaminan bertulis sebelum persembahan bahawa dia dan persembahan langsung The 1975 ‘akan mematuhi panduan dan peraturan tempatan’ semasa persembahan mereka di Malaysia.

“Walaupun begitu, jaminan itu diabaikan, dan tindakan kumpulan itu juga dengan jelas melanggar kontrak dengan FSA, yang mengakibatkan pembatalan festival dan menimbulkan kerugian yang besar kepada FSA,” katanya lagi.

Kegagalan The 1975 untuk mengakui dan membayar ganti rugi seperti yang diminta oleh pihak FSA akan mengakibatkan tindakan undang-undang diambil di Mahkamah England.

sumber:malaymail