Ads Top

Remaja Perempuan 14 Tahun Dan Teman Lelaki Disyaki Bunuh Abang Direman

TAIPING: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dan teman lelaki direman enam hari bagi membantu siasatan kes bunuh abangnya di Taman Glenview, Kamunting, di sini, semalam.

Suspek dan teman lelakinya berusia 15 tahun yang ditahan di rumah masing-masing, semalam, dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dengan berpakaian lokap pada jam 8.30 pagi tadi.

Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Hidayah Ismail, kemudian membenarkan kedua-dua suspek direman bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan mayat seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemui jam 12.18 tengah hari semalam di belakang sebuah rumah kosong bersebelahan kediamannya di Taman Glenview.



Mayat mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang oleh kakaknya, Jumaat lalu, ditemui dengan kesan kelar di leher dan kedua-dua pergelangan tangan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, dilaporkan berkata berdasarkan hasil siasatan, polis menahan adik perempuan mangsa serta teman lelakinya dan kedua-dua suspek kemudian mengaku membunuh remaja itu.

Osman berkata, siasatan awal mendapati motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada pergaduhan mangsa dengan teman lelaki adiknya selepas telefon bimbit suspek tertinggal di rumah mereka.



Sementara itu, mayat mangsa sudah dituntut ahli keluarganya selepas bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, jam 10.30 malam tadi.

Menurut sumber forensik, bedah siasat dijalankan mendapati punca kematian remaja berkenaan ialah pendarahan berlebihan akibat tikaman di leher.

Bagaimanapun, usaha menemu bual ahli keluarga mangsa gagal apabila kesemua mereka enggan diganggu berikutan masih dalam keadaan sedih.
Powered by Blogger.