eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Panggilan Subuh ,Skrin Di 9 Lakonan Redza Rosli, Puteri Aishah, Dai Saiful

JUDUL : PANGGILAN SUBUH
TARIKH / MASA : Isnin, 19 Disember 2016, 8.30 malam
SIARAN : Skrin Di 9 (TV9)
SKRIP : Sharifah Abu Salem
PENGARAH : Kyoll Hamzah
TERBITAN : Suhan Movies & Trading
PELAKON : Redza Rosli, Puteri Aishah, Dai Saiful, Aliff Hilman, John Chisel, 

SINOPSIS PANGGILAN SUBUH. #Panggilansubuh #SkrinDi9

Drama bukan sekadar hiburan kosong, tetapi turut diselitkan pengajaran yang boleh menjadi panduan penonton.

Setiap masa, penerbit mencari idea segar menghasilkan karya berkualiti dan sarat dengan mesej mendalam yang boleh menarik minat penonton menyaksikannya.

Manusia dicipta dengan pelbagai karakter. Tiada yang sempurna, tetapi mereka boleh berubah apabila hidayah tiba dengan kehendak Allah.

Itu yang dipaparkan menerusi telefilem Panggilan Subuh yang bakal menemui penonton pada 12 Disember ini menerusi Skrin di 9 TV9, jam 8.30 malam.

Telefilem karya Sharifah Abu Salem ini diarahkan Kyoll Hamzah dan dibintangi Redza Rosli, Puteri Aishah, Da’i Saiful dan ramai lagi.

Telefilem ini membawa masyarakat mendalami kisah laungan azan terutama waktu Subuh yang seringkali menjadi pertikaian dalam kalangan masyarakat.

Bagi mereka yang menghargainya, laungan azan Subuh adalah satu irama indah yang menusuk jiwa, sekali gus membakar semangat untuk meneruskan kehidupan.

Sementara itu, mereka yang mengingkari suruhan Allah akan menutup telinga kerana menganggap laungan azan mengganggu tidurnya.

Sebagai pengarah, Kyoll menyukai naskhah ini kerana ia menuntutnya menjadi lebih kreatif menggarap naratif supaya dapat menarik perhatian penonton.

“Sharifah mencipta watak Fariq lakonan Redza, seorang kaki pukul kelab malam yang memandang remeh laungan azan dan marah apabila tidurnya terganggu.

“Saya menyukai jalan ceritanya yang berat namun boleh dikawal dengan kreativiti pelakon.

“Fariq sangat mementingkan diri dan sanggup mengabaikan seruan Allah kerana mahu tidur,” katanya.

Menurutnya, meskipun masih baru Redza berjaya menampilkan lakonan cemerlang.

“Dia bersahaja, tapi memberikan emosi maksimum yang boleh mengundang rasa benci penonton, tetapi pada masa sama ingin tahu apa yang berlaku seterusnya.

“Redza bagi saya pelapis baru yang bakal memberi saingan sihat kepada palakon sedia ada.

“Watak heroin iaitu Diana pula dilakonkan Puteri Aishah. Karakternya nampak sopan apabila manis bertudung, tapi ada sesuatu yang disembunyikannya.

“Aishah juga masih setahun jagung dalam industri, tapi dia dengar cakap dan ikut apa yang disuruh sehingga saya berpuas hati.

“Telefilem ini turut menampilkan Da’i Saiful dan dia boleh berlakon dengan baik meskipun ini percubaan pertamanya,” kata Kyoll.

Kyoll mengakui gandingan pelakon baru tidak menghampakan sekiranya tahu cara betul membentuk mereka.

“Apa yang penting mereka boleh bekerja mengikut arahan. Pembikinan telefilem ini satu cabaran berat buat saya kerana masa yang diberikan agak suntuk.

“Kami hanya ada dua minggu untuk proses penggambaran dan suntingan sebelum ia ditayangkan kepada penonton. Selain itu, cuaca juga tidak menentu.

“Pernah penggambaran berlanjutan sehingga subuh seakan-akan menepati tajuknya, Panggilan Subuh,” katanya.

Puteri Aishah mengakui gementar apabila diberikan kepercayaan tampil sebagai heroin.

“Ini rezeki saya dan tanggungjawab yang digalas perlu dipikul sebaik mungkin. Tak dinafikan saya agak kekok melakonkan beberapa babak, tetapi dengan tunjuk ajar pengarah dan pelakon lain, ia berjaya dilakukan dengan baik.

“Sekarang saya hanya menunggu maklum balas penonton dan berharap mereka terhibur,” katanya yang turut membintangi filem Pulang bersama Remy Ishak.

Panggilan Subuh mengisahkan Fariq, kaki pukul kelab malam yang perlu bekerja sehingga jam 5.30 pagi.

Sebaik tiba di rumah dia tidur sehingga jam 4 petang kerana perlu bekerja malam sehingga awal pagi.

Tiba-tiba tidurnya diganggu laungan azan Subuh dari surau berdekatan rumahnya. Dia hairan kerana selama ini surau itu sepi.

Rupa-rupanya Ustaz Danial yang baru pulang dari Syria tinggal di surau itu buat sementara waktu.

Sejak itu, aktiviti di surau terbabit kembali aktif manakala Fariq rasa tidurnya terganggu. Prestasi kerjanya juga merosot.

Bagi menenangkan fikiran, Fariq memandu di sekeling kawasan perumahan itu dan hanya pulang ke rumah apabila kuliah Subuh selesai.

Fariq terserempak dengan gadis bertudung melintas jalan di simpang utama. Fariq mula tertanya-tanya siapa gadis cantik itu?