eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Presiden Filipina Arah Polis, Tentera Tembak Pengingkar Arahan Kuarantin

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dilapor memberi arahan kepada polis dan tentera negara itu agar menembak sesiapa yang ingkar perintah berkurung di pulau Luzon untuk membendung koronavirus, menurut Al-Jazeera.

“Ini amaran untuk semua. Ikut perintah kerajaan kali ini kerana penting untuk kita tertib,” katanya semalam.

“Dan jangan bahayakan petugas kesihatan, doktor.. kerana ia jenayah serius. Perintah saya kepada polis dan tentera, jika ada sesiapa buat masalah, dan nyawa mereka dalam bahaya, tembak mereka mati.

“Jangan cabar kerajaan, anda akan tewas,” kata Duterte.

Terdahulu, media melaporkan sekumpulan penduduk di Quezon City, Manila menjalankan protes di lebuh raya berhampiran rumah mereka.

Kumpulan itu mendakwa mereka tidak menerima sebarang bungkusan makanan dan bekalan lain sejak perintah berkurung bermula dua minggu lalu.

Polis dan pegawai keselamatan tempatan telah mengarahkan mereka pulang, namun penunjuk perasaan enggan mematuhi arahan tersebut.

Filipina merupakan antara negara di Asia Tenggara yang paling teruk terkesan akibat COVID-19 selain Indonesia dan Malaysia.
Setakat ini, sebanyak 2,311 kes dicatatkan di sana dengan 96 kematian.

Sebelum ini, Duterte pernah memerintahkan pihak berkuasa agar ‘memburu‘ dan menembak penjual serta penagih dadah di negara itu jika ditemui di mana-mana. Namun perintah itu menerima kecaman setelah ada gelandangan yang disalah tafsir didakwa turut terkorban.

Sumber: Al-Jazeera