eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Singapura Catat 690 Kes Baharu COVID-19, Jumlah Keseluruhan Kini Lebih 15,000 Kes

SINGAPURA, 29 April — Singapura hari ini mengesahkan tambahan 690 kes baharu jangkitan COVID-19, termasuk enam melibatkan kes dalam komuniti manakala jumlah terbesar dari penghuni asrama pekerja.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik ini dalam satu kenyataan memaklumkan ia masih mengkaji butiran kes berkenaan dan sebarang maklumat terkini akan diumum kemudian hari ini.

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah bagi republik ini 15,641 kes.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat Selasa, MOH menyatakan jumlah kes baharu dalam komuniti telah berkurangan daripada purata 28 kes sehari pada minggu sebelum kepada purata 17 kes sehari pada minggu lepas.

MOH memaklumkan bahawa daripada 528 kes baharu semalam, 83 peratus dikaitkan dengan kluster yang diketahui manakala yang lain masih menunggu hasil pengesanan kontak.

Pada minggu lepas (21-27 April), kementerian memaklumkan ia telah menemui hubung kait bagi 1,203 kes yang tidak dikait sebelum ini.

Kementerian juga menyatakan jumlah kes tidak dikait dalam komuniti juga berkurangan daripada purata 18 kes sehari pada minggu sebelum ini kepada purata 10 kes sehari pada minggu lepas.

Dari jumlah pada Selasa iaitu 14,951 kes, Singapura mengklasifikasi 1,181 sebagai kes komuniti, 571 kes import dan 505 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak menghuni asrama.

Sementara itu, penghuni asrama membentuk kira-kira 85 peratus atau 12,694 kes.

Menurut kenyataan itu, kebanyakan kes di asrama mempunyai simptom sakit ringan dan tidak seorang pun diletakkan dalam unit rawatan rapi.

Singapura mengenalpasti empat lagi kluster baharu pada Selasa, iaitu 33, Sungei Kadut Loop; 23H, Sungei Kadut Street; 10, Tagore Drive; dan 51H, Tuas South Ave 1.

Kluster terbesar di republik ini ialah S11 Dormitory @ Punggol yang setakad ini mencatatkan 2,302 kes yang disahkan.

Setakad ini, 1,128 pesakit telah pulih sepenuhnya manakala 21 dalam keadaan kritikal dengan menerima rawatan di unit rawatan rapi dan 14 meninggal dunia.

Sumber: BERNAMA