eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Singapura Catat 728 Kes Baru,Keseluruhan Jangkitan Mmencecah 4,427

Kementerian Kesihatan Singapura semalam melaporkan tambahan 728 kes jangkitan COVID-19 dengan majoritinya daripada kluster asrama pekerja asing.

Kes baharu itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan mencecah 4,427 di republik ini.

“Kes baharu dalam kalangan pemegang Pas Kerja yang tinggal di asrama telah meningkat dengan signifikan, selari usaha berterusan kami untuk membuat saringan secara aktif dan mengasingkan pekerja yang dijangkiti,” kata MOH dalam satu kenyataan.

Kes COVID-19 dalam kalangan pemegang Pas Kerja yang tinggal di asrama mencecah 654, manakala 26 lagi menetap di luar asrama.

MOH berkata, bilangan kes baharu membabitkan pemegang Pas Kerja yang tinggal di luar asrama, meningkat daripada purata sembilan kes sehari pada minggu sebelum ini, kepada purata 15 kes sehari, minggu lalu.

Katanya, 81 peratus daripada kes baharu terbabit berkait kluster diketahui, manakala baki masih menunggu hasil pengesanan kontak.

Dua rakyat Malaysia ialah antara kes baharu, semalam, membabitkan seorang berkait kluster sebuah asrama di Jalan Kubor, manakala seorang lagi berkait Kes 3,306.

Lima kluster baharu dikenal pasti dengan kebanyakannya membabitkan asrama, iaitu The Leo, SJ, Westlite Mandai, Sungei Kadut Street 4 dan Bangunan Grandwork di Sungei Kadut Street 3.

Dalam pada itu, dua kluster berkait Masjid Al-Muttaqin dan Church of Singapore di Bukit Timah kini ditutup susulan tiada lagi kes sepanjang dua tempoh inkubasi.

Selain itu, katanya, 31 lagi kes COVID-19 telah discaj dari hospital atau kemudahan isolasi komuniti, menjadikan keseluruhannya mencecah 683, setakat ini. 

– BERNAMA