eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Pemuda Lemas Dihanyut Arus Deras Ketika Berkelah

Kegembiraan 10 rakan berkelah di Sungai Jin, Sungai Lembing di sini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas akibat dihanyutkan arus deras, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata Ahmad Hasrul Hisyam Ahmad Fauzi dari Sungai Isap, dipercayai lemas sekitar 3 petang kira-kira dua jam selepas dia bersama rakannya tiba di lokasi kejadian.

“Mangsa dipercayai telah berenang ke kawasan lubuk yang agak dalam sebelum dihanyutkan arus. Saksi kejadian mendakwa melihat mangsa tenggelam timbul beberapa kali sebelum hilang.

“Rakan mangsa difahamkan cuba membantu namun gagal menyebabkan mereka terus menghubungi pihak berkuasa,” menurutnya dalam kenyataan media semalam.

Beliau berkata mayat mangsa dijumpai pada 6.48 petang dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

Pemergian mangsa yang berusia 33 tahun itu mengundang sebak rakan dan kenalan dengan memuat naik ucapan takziah buat keluarga Allahyarham.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 16 pegawai dan anggota polis serta bomba selain dibantu tujuh orang awam.

Sumber : Bernama