eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Mael Totey The Movie Raih RM2.56 Juta Lepas 4 Hari Tayangan

 

Filem arahan pertama selebriti YouTube, Syahmi Sazli iaitu Mael Totey The Moovie (MTTM) memecah rekod tersendiri apabila meraih kutipan sebanyak RM2.56 juta dalam tempoh empat hari tayangan sejak 22 Oktober lalu.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Astro Shaw, jumlah tersebut merupakan kutipan paling tinggi di platform Astro First, sekali gus memecah rekod terdahulu yang dipegang oleh filem Syif Malam Raya.

Menurut Syahmi yang juga penerbit dan pengarah MTTM, dia sangat berterima kasih kepada semua penonton yang terlibat secara langsung dan tidak langsung memberi sokongan padu terhadap filem ini. 

“Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan terima kasih buat pihak Astro yang banyak membantu dan memberi sokongan dari fasa produksi sehingga fasa promosi sekarang ini. 

“Tidak dilupakan buat rakan media yang tidak putus-putus menghebahkan karya-karya saya selama ini. 


“Saya tak sangka filem arahan pertama saya akan mendapat sambutan luar biasa. Fenomena yang tercetus ini memberi semangat baharu buat saya untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik.” katanya.

Sementara itu, Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, pihaknya sentiasa komited dalam membantu membuka ruang buat penerbit tempatan untuk menayangkan karya kepada penonton sasaran dalam tempoh sekarang ini. 

“Ternyata inisiatif ini dilihat mampu memberi jalan positif untuk menjana semula ekonomi dalam industri hiburan. 

“Sesuatu yang agak istimewa tentang Mael Totey The Movie, ia merupakan hasil filem pertama produksi dan arahan bakat kreatif, Syahmi Sazli dan kejayaan ini telah menambahkan lagi sinar harapan baru buat industri perfileman tempatan yang terjejas akibat Covid-19. 


“Kejayaan ini juga secara tidak langsung telah melahirkan bakat baru dan menjadi game changer di dalam industri di mana seorang Youtuber berusaha memajukan diri ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Untuk rekod, MTTM yang mengangkat genre drama komedi ini mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya. 

Tetapi Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya. Konflik antara Mael, cikgu dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul. 

Membariskan selebriti Youtube Syahmi Sazli, Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad, Aween Ismail, penyampai radio GEGAR, Ewan, serta pelakon tanah air seperti Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid, Kamarool Yusoff dan ramai lagi.