Teka-teki siapa yang akan menggantikan tempat Shuib Sepahtu di Geng Pagi Hot di Hot FM akhirnya terjawab apabila penyanyi dan juga pelakon terkenal, Mark Adam tampil ke udara bersama Fizie Hot FM pada jam 6 pagi hingga 10 pagi tadi.
Kerjaya berubah 360 darjah
Semestinya hal ini membuatkan para peminat selebriti kelahiran Filipina tersebut berasa teruja berikutan penampilan pertama Mark sebagai penyampai radio selepas lebih banyak bergiat dalam bidang seni suara.
Menerusi Mstar, Mark mengakui bahawa kerjayanya berubah 360 darjah selepas menerima tawaran menjadi penyampai radio. Walau bagaimanapun dia berasa teruja untuk keudara bersama Fizi selepas ini.
“Kerjaya saya berubah 360 darjah. Semasa ditawarkan untuk menjadi penyampai Hot FM, saya fikir banyak kali sebab ini bukan saja kerjaya tapi tanggungjawab perlu saya galas.” Katanya
Bahasa jadi cabaran
Ditanya tentang kegusarannya, guru vokal ini mengakui penggunaan bahasa Melayu menjadi cabaran buatnya. Namun, ia sama sekali tidak mematahkan semangat yang sedia ada.
“Bahasa Melayu bukan bahasa pertama saya, jadi untuk bertutur dengan lancar sebagai penyampai radio merupakan satu cabaran buat saya tetapi saya juga lihat peluang di Hot FM ini adalah satu cara memperbaiki bahasa pertuturan saya.” Jelasnya
Mark Adam juga berharap agar apa yang dikerjakan memperolehi hasil yang baik dan akan berusaha memberikan yang terbaik buat para pendengar.
“Insya Allah, saya bersama Fizie dan Hot FM akan mencuba untuk menyajikan pengisian yang terbaik dan semoga para pendengar akan terhibur setiap pagi bersama GPH di Hot FM.” Tambah penyanyi itu.
Tahniah & selamat datang Mark!
Melihat daripada komen netizen diruangan Instagram Hot FM, ramai yang gembira dengan kehadiran Mark kerana merasakan penyanyi tersebut mempunyai bakat menghibur dan rata-rata daripada mereka mendoakan agar dia terus maju jaya bersama GPH.