eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Sedih, Anak Sempat Cuba Baju Sekolah Baru 30 Minit Sebelum Maut Dilanggar Trak

 


Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dalam keadaan tragis selepas dilanggar oleh sebuah trak sampah ketika berbasikal.

Mangsa, Bronson John Bannister Williams meninggal dunia pada Rabu lalu dalam nahas yang berlaku di Launceston, Tasmania, Australia, lapor Mirror.

Lebih menyayat hati, keluarganya berkata, Bronson begitu bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan dan dia baru sahaja mencuba pakaian sekolah barunya setengah jam sebelum kemalangan ngeri itu berlaku.

“Dia begitu teruja untuk memulakan sekolah dengan abang dan kakaknya.

“Bronson sangat pintar dan mempunyai keperibadian yang ceria. “Kami ingin melakukan majlis perpisahan ‘malaikat kecil’ kami tetapi tidak mencukupi wang dengan situasi Covid-19,” kata keluarganya.

Oleh itu, mereka meminta sumbangan kepada orang ramai supaya majlis perpisahan dapat dilakukan.

“Jadi, tolonglah sesiapa sahaja jika anda dapat menyumbangkan walaupun hanya AS$1 (RM4.04), ianya dapat membantu dengan pelbagai cara,” katanya.

Sementara itu, pemilik trak pengumpulan sampah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan ucapan takziah kepada keluarga dan akan bekerjasama dengan polis yang menjalankan siasatan.

Polis Tasmania masih menyiasat punca kejadian.

Sumber: Mirror UK