eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Rider samseng ‘koyak’ kena hon berdiri masuk jalan siap nak hempuk kereta

 


Mendapat jolokan ‘New Zealand Malaysia’, tidak hairan sekiranya Lebuhraya Temiang-Pantai di Seremban sentiasa menjadi tumpuan orang ramai untuk merakam pemandangan di lokasi tersebut.

Terutama pada hujung minggu, mereka yang melakukan konvoi kenderaan pasti berhenti di lorong kecemasan sekali gus mengundang bahaya bagi pengguna jalan raya lain.

Terbaru, tular satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kereta memaparkan pemandunya membunyikan hon kepada seorang penunggang motosikal yang berhenti di tepi jalan.



Mana tidaknya, penunggang lelaki itu dilihat berdiri dan memasuki sedikit garisan jalan raya sekaligus membuatkan pemandu membunyikan hon atas dasar peringatan.

Rakaman dashcam itu dimuat naik seorang pengguna laman Facebook, Up Wah Ab yang meluahkan rasa kesal apabila melihat reaksi ‘samseng’ penunggang terbabit.

Mungkin tidak berpuas hati gara-gara dihon pemandu, penunggang itu dilihat dengan pantas cuba menghayunkan satu objek ke arah kereta berkenaan.

“Nak lepak-lepak ambik gambar tak kisah tapi jaga la had tu. Ni bukan taman rekreasi atau open house makcik kau. Orang hon tu bagi kau peringatan, kau nak marah sampai nak hempuk kereta orang pasal apa,” tulis Up Wah Ab.

Rakaman berdurasi 10 saat itu turut dikongsi di group DashCam Owners Malaysia sehingga menerima 2,000 perkongsian dan 853 komen dalam kalangan netizen.

Rata-rata menyifatkan penunggang tersebut bersikap biadab selain seolah-olah tidak menyedari bahawa dirinya sendiri yang mengundang bahaya kepada orang lain.

Sebelum ini, polis Negeri Sembilan sudah memberi amaran supaya tidak meletakkan kenderaan di lorong kecemasan lebih-lebih lagi dalam jumlah yang banyak kerana boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.