eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

UBI SUPERSTAR LIVE Bersama Fad, Sharif Zero, Namie Serta Shuib & Ajak

 


Tidak lekang daripada mulut para netizen setelah menunjukkan bakat komedi kreatif mereka menerusi Muzikal Lawak Superstar musim ketiga, kini kumpulan pelawak yang sedang meningkat naik, UBI membawa lawak jenaka berirama mereka ke rancangan komedi terbaharu Astro Warna, UBI SUPERSTAR LIVE.

Sukses yang dikecapi UBI setelah menjuarai Muzikal Lawak Superstar musim ketiga telah melahirkan sebuah fenomena baharu dalam industri komedi tanah air. Kumpulan UBI mencipta satu standard yang tinggi di kalangan kumpulan pelawak Malaysia dengan sketsa-sketsa mereka sehingga menjadi tular di pelbagai platform media sosial.


Gabungan serasi di antara Fad dan Sharif Zero, bintang terkenal yang sudah lama menempah nama dalam industri komedi bersama dengan bakat baharu, Namie sebagai kumpulan UBI membuatkan para penonton tidak sabar untuk melihat mereka beraksi sekali lagi di atas pentas. Para penonton kini boleh menyaksikan sisi-sisi lawak mereka yang lebih dalam rancangan realiti terbaharu yang memaparkan sketsa mereka dalam durasi yang lebih panjang.

UBI SUPERSTAR LIVE menampilkan ketiga-tiga ahli kumpulan UBI bersama dengan dua pelawak ternama iaitu Shuib dan Ajak dalam sebuah persembahan sketsa komedi muzikal yang berlangsung secara LIVE sebanyak empat episod. 

Shuib kembali ke pentas LIVE komedi di Astro. Lantas penampilan pelawak terkemuka ini pastinya akan menarik para peminat sedia ada yang menunggu dirinya kembali ke pentas komedi. Dengan pengalaman bertahun lamanya, sudah pastinya Shuib mampu menambahkan lagi elemen spontan dalam jenaka mahupun lakonan dalam mengemudi UBI SUPERSTAR LIVE bersama. Manakala kehadiran Ajak pastinya akan menambahkan lagi kemantapan persembahan mingguan UBI SUPERSTAR LIVE dengan pengalamannya sejak menjadi peserta Raja Lawak. Cara penyampaian Ajak yang berbentuk nasihat sambil berjenaka turut merupakan pembaharuan serta keunikan yang mampu dibawakan menerusi siri kali ini. Malah, kepelbagaian dibawakan UBI, Shuib dan Ajak pasti menggamat lagi musim pertama UBI SUPERSTAR LIVE.


Bertepatan dengan tagline mereka ‘diam-diam ubi berisi’, persembahan sketsa daripada kelima-lima ahli memaparkan isu-isu kemasyarakatan dan nilai moral yang dapat memberi pengajaran berguna kepada para penonton.

Antara tarikan utama rancangan ini adalah penampilan rakan-rakan selebriti yang berbeza pada setiap minggu serta ramai lagi tetamu-tetamu undangan istimewa yang akan membuat kemunculan berdasarkan sketsa-sketsa yang dilakukan. 

Penggunaan Live Props dalam sketsa-sketsa mereka juga merupakan tarikan rancangan ini yang dibawa kembali daripada Muzikal Lawak Superstar musim ketiga kerana merupakan salah satu prop yang digemari para penonton. Para penonton pada kali ini pasti akan lebih teruja untuk menyaksikan lagak ngeri Fad, Sharif Zero dan Namie yang bakal bertembung dengan Shuib dan Ajak di atas pentas yang sama, membawa bakat dan karakter masing-masing yang dipenuhi idea luar daripada kotak. 



UBI SUPERSTAR LIVE akan bersiaran secara langsung mulai 23 Februari 2023, setiap Khamis, jam 9.00 malam dan akan ditayangkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 107). Untuk pilihan yang fleksibel, para penonton turut boleh strim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO. Tambah menarik buat peminat kumpulan UBI serta Shuib dan Ajak, UBI SUPERSTAR juga akan mengadakan satu episod istimewa raya iaitu UBI SUPERSTAR RAYA yang akan mempersembahkan pentas muzikal komedi berkonsepkan Hari Raya Aidilfitri.