eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Berbuka Di Bahu Jalan ,Demi Keselamatan Awam

KUALA LUMPUR,  24 April — Ketika umat Islam menjamu selera menikmati juadah berbuka puasa pada hari pertama Ramadan, suasana yang berbeza dilalui oleh pasukan keselamatan yang bertugas bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi.

Meskipun berpuasa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menerusi Op COVID-19 di sekatan jalan raya dilihat melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.

Jelas terpancar semangat di muka anggota menjalankan tanggungjawab walaupun jauh dari sudut hati mereka sudah tentu mahu berbuka puasa bersama keluarga.

Malah, tinjauan Bernama di sekatan jalan raya sekitar ibu negara mendapati rezeki anggota yang berkawal ‘melimpah ruah’ apabila ramai pihak menghulurkan sumbangan makanan serta buah-buahan untuk anggota bertugas.

Rata-rata anggota yang ditemui juga sudah lama tidak bertemu keluarga dan itu pengorbanan yang perlu dihayati oleh masyarakat  untuk mematuhi perintah PKP serta terus kekal di rumah.

Tinjauan juga mendapati kenderaan tidak banyak ketika waktu berbuka puasa dan anggota dilihat masih berkawal pada waktu itu.

Sebelum ini media melaporkan kira-kira  7,000 anggota ATM dan 42,000 anggota polis terbabit penugasan sekatan jalan raya sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Tempoh PKP dilanjut sehingga 12 Mei seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perutusan khas semalam.

Sumber: BERNAMA