eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Mungkin Tidak Boleh Sambut Raya Di Kampung – PM

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkemungkinan akan dilanjutkan lagi selepas 12 Mei ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, susulan itu semua rakyat mungkin tidak boleh pulang ke kampung halaman mereka untuk menyambut hari raya seperti kebiasaan.

”Saya tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini.

Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung seperti biasa,” kata beliau.

Tambah Muhyiddin, rakyat masih juga belum boleh mula bekerja kecuali di dalam sektor terpilih yang dibenarkan oleh kerajaan.


”Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan.

Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya,” kata beliau.

Walau bagaimanapun, jika kes-kes COVID 19 terus mencatatkan penurunan yang ketara, kerajaan berkemungkinan akan melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial, kata Muhyiddin.

Jelasnya, usaha yang dilakukan ini bagi membolehkan semua rakyat menjalani kehidupan yang lebih selesa.

Oleh itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini sedang merangka satu pelan yang menyeluruh mengenai perkara ini.

Fasa keempat PKP akan bermula pada 29 April ini dan berakhir pada 12 Mei 2020, sejurus fasa ketiga PKP tamat pada 28 April.

Secara keseluruhan, Malaysia telah melaksanakan PKP selama 6 minggu yang bermula pada 18 Mac lalu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.