eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Singapura Catat 334 Kes Baharu COVID-19, Jumlah Keseluruhan Melebihi 3,000



SINGAPURA, 14 April (Bernama) — Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini melaporkan tambahan 334 kes baharu jangkitan COVID-19 di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 3,252.

Menurut Pengarah Perkhidmatan Perubatan MOH Profesor Madya Kenneth Mak, kes baharu itu menyaksikan tiada kes import manakala 189 mempunyai kaitan dengan beberapa kluster yang telah dinamakan, 23 dikaitkan dengan kes tempatan lain dan 122 tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster setakat ini.

“Bagaimanapun, 122 kes ini tidak membayangkan penularan sumber yang tidak diketahui. Jumlah ini akan berkurangan secara progesif dan kami akan mengaitkan mereka dengan kluster sedia ada, iaitu yang membabitkan asrama pekerja asing atau sebaliknya,” kata Mak pada taklimat teknikal secara maya Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian COVID-19 dan sidang akhbar di sini.

Mak berkata 98 orang daripada mereka adalah pemegang pas pelawat jangka panjang dan kebanyakannya tidak mempunyai kaitan dengan asrama pekerja terbabit manakala 24 merupakan Warganegara Singapura atau Penduduk Tetap.

“Mereka yang dikaitkan dengan kluster yang telah dinamakan setakat ini hanya dua orang iaitu Warganegara Singapura dan PR. Selebihnya adalah pemegang pas pelawat jangka panjang. Mereka sudah dikaitkan dengan kluster yang telah dinamakan dan kebanyakannya tinggal di asrama pekerja,” katanya.

Mengikut data harian yang dikeluarkan MOH sebentar tadi, tiga rakyat Malaysia adalah sebahagian daripada 334 kes baharu yang dilaporkan hari ini.

Seorang daripada mereka dikaitkan dengan Asrama Pekerja S11 yang ketika ini mempunyai 718 kes yang telah disahkan, kluster terbesar di Singapura setakat ini.

Seorang rakyat Malaysia dikaitkan dengan kluster Asrama Pekerja Tampines yang ketika ini mempunyai 55 kes manakala seorang lagi dikategorikan sebagai kes tempatan yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster.

Kluster asrama pekerja di Jalan Kubor yang membabitkan enam rakyat Malaysia dan seorang PR Singapura, kesemuanya adalah pemegang pas kerja Singapura, hari ini menambah satu lagi kes positif membabitkan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 28 tahun.

Setakat Selasa, Singapura telah mengenal pasti hanya satu kluster baharu di PPT Lodge 1A di 8 Seletar North Link dengan  11 kes yang disahkan.

Republik itu turut melaporkan kematian ke-10 akibat COVID-19 membabitkan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 70 tahun yang disahkan dijangkiti virus itu pada 6 Mac.

Ketika mengemas kini kes yang disahkan, MOH berkata 25 kes telah pulih daripada jangkitan dan telah dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan isolasi komuniti, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh setakat ini ialah 611 orang.

Daripada sejumlah 1,315 kes yang disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakan adalah stabil atau semakin pulih manakala 28 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

MOH berkata 1,316 kes yang secara klinikal adalah sihat tetapi masih diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Setakat tengah hari, kementerian itu mengenal pasti sejumlah 30,646 kontak rapat yang telah dikuarantin.

— BERNAMA