eebYXrnOYAkzZ4FfKXVQtUxpW7aZVX2htvOt4gr5
Bookmark

Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Najib didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V Sithambaram manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan.

Terdahulu, mahkamah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan rayuan bagi meringankan hukumannya yang disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pada Isnin ini.

Mohd Nazlan memutuskan bahawa pihak pembelaan perlu mempunyai alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.

"Alasan pembelaan bahawa mereka memerlukan masa untuk melihat latar belakang kes yang saya sabitkan kepada Najib tidak boleh diterima," katanya.

Oleh itu beliau memutuskan rayuan meringankan hukuman diteruskan hari ini.

Najib, perdana menteri keenam dari 2009 hingga 2018, menjadi ketua negara pertama di Malaysia yang diheret ke mahkamah.

Perbicaraan bermula pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama.


Pada 11 November 2019, Najib diarahkan membela diri atas kesemua pertuduhan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 3 Disember 2019, Najib memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan untuk menjawab pertuduhan terhadapnya dengan membaca penyataan saksi setebal 243 muka surat.

Pada 5 Jun lalu, mahkamah menetapkan hari ini untuk mengumumkan keputusan dalam kes itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan yang bermula pada 1 Jun.

Najib pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Julai 2018 atas tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Seterusnya pada 8 Ogos 2018, Najib sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Semua kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan dibicarakan bersama.

Sumber:Bernama